Saya dan Surat Cinta yang tidak berbalas…

Abah merenung tajam ke dalam mata saya,

Saya mula gugup.Peluh mula membasahi.

Saya memandang ke tempat lain, tidak mahu dan mampu untuk bertentang mata dengan abah.

“ ini huruf apa? ”

Saya senyap.mata terkebil kebil memandang buku iqra’ di hadapan saya.

“ ini huruf apa??”

Abah saya bertanya.Sedikit meninggi suaranya.

“ Erm..erm..huruf jim kut..”

Saya menjawab separuh bersuara.

Abah saya merenung tajam ke dalam mata saya

“Hah! Huruf apa ni..tak dengar..sekali lagi!”

Abah separuh menengking

Saya menjawab tergagap gagap..

“ Jim..ini jim bah..”

Merah wajah abah saya menahan marah.

“ Berapa kali nak tunjuk, nak pesan, nak ajar, kenapa payah sangat nak faham ni, ni huruf khaf, tengok lah titik dekat mana ni.!”

Suaranya meninggi, saya terketar ketar ketakutan.Air mata saya bergenang, menangis dimarahi abah.

Antara ketakutan saya sewaktu saya masih kecil, setiap kali selepas maghrib arwah abah akan mengajar saya mengaji AlQuran dan mungkin saya agak lemah dan lambat ‘tangkap’ setiap kali mengaji, setiap kali itu jugalah saya dimarahi abah, seram sejuk bila memandang mata abah yang merenung tajam dan akan menengking saya setiap kali saya salah setelah diajar berulang kali.

Sebolehnya selepas solat maghrib berjemaah dengan abah, saya cuba melengah lengahkan masa, biar abah menonton Buletin Utama dahulu dan saya akan pergi mengaji dengan ibu saya.Ibu saya tidak segarang abah, tidaklah saya ketakutan semasa mengaji dengan ibu saya, kadang kadang kalau bukan ibu saya, saya mencari kakak dan abang saya supaya mereka mengajar saya, saya tidak kisah, asalkan jangan dengan abah saya.

Sehingga ada satu malam, mungkin abah saya ‘tension’ agaknya, saya payah sangat nak faham, lalu dia bertanya kepada saya

“ Kita mengaji(baca quran) ni untuk siapa,?”

“ Untuk Allah ke untuk diri sendiri?”

Abah menyoal saya.

Saya tunduk.Tidak faham apa maksud soalan abah, tidak tahu apa yang harus di jawab”

Abah berdehem, nampaknya memang saya kena jawablah soalan dia

“erm..erm..untuk Allah la bah kita mengaji”

“ Untuk Allah kita mengaji???” Abah menyoal saya kembali.

“aah..untuk Allah la” saya menjawab perlahan sambil memandang kearah lain.Takut saya mahu melihat muka abah pada waktu itu.

Sebenarnya saya pun tak tahu kenapa saya menjawab begitu, tapi saya rasa itulah jawapan yang paling sesuai, kita mengaji untuk Allah la kan..

Abah memandang ke dalam mata saya, lalu ditutupnya Quran, dan meninggalkan soalan dia itu tadi tanpa jawapan, saya duduk di hadapan rehal termenung di mana salahnya jawapan saya tadi.

***************************************************************************************************************

Beberapa bulan selepas kembalinya  arwah abah saya ke rahmatullah 12 tahun yang lalu, pada suatu pagi saya menaiki motorsikal bersama arwah datuk saya.Pagi pagi lagi dia datang mengambil saya.

“ kita nak ke mana ni ayoh(panggilan kami kepada arwah datuk) ”saya bertanya datuk saya sewaktu di atas motor hondanya.

“ kita nak pergi pondok pasir tumboh, jumpa tok guru haji hashim” datuk saya menjawab.

Saya mengikut sahaja, tidak pernah saya dengar nama Tuan Guru tersebut, jarak rumah saya dengan pondok pasir tumboh tidaklah jauh mana, tidak sampai sepuluh minit menaiki motor kami sudah sampai ke perkarangan rumah tuan guru.

Saya lihat ramai pelajar pelajar lelaki sedang mengikuti pengajian di madrasah bersebelahan rumah tuan guru, di sebelah lain pula saya lihat sekumpulan pelajar lelaki jalan berkumpulan, mungkin baru balik dari pengajian, saya mengagak.

Saya duduk di ruang tamu, kelihatan ada seorang dua pak cik yang mungkin seusia dengan datuk saya turut berada di ruang tamu, mungkin mereka juga berhajat atau punya urusan dengan tuan guru.Saya memandang melihat sekeliling rumahnya, sederhana.Cuma saya tertarik di rumahnya banyak sungguh bekas bekas yang menyimpan bunga cengkih, di atas coffe tablenya ada juga di atas meja satu lagi pun ada juga bekas bunga cengkih.

“ nii nak buat apa ni yah?” saya menyoal datuk saya sambil menunjukkan bunga cengkih kepadanya

“ ohh ini..diorang makan selalu ni, supaya mulut sentiasa bau wangi..”

Saya ambil satu dan mencubanya.

Terus saya meludah, rasa aneh memenuhi mulut saya

Datuk saya tergelak

“itulah kalau tak pernah makan jangan cuba cuba..kamu ni..ish”

Tukas datuk saya kepada saya.

Saya duduk kembali lalu bertanya kepada datuk saya

“ sebenarnya kita datang sini nak buat apa yah”

“ erm..datang sini nak jumpa tok guru haji hashim supaya dia bagikan sedikit doa dan bacaan biar kamu rajin, rapat dengan AlQuran” jawab datuk saya

Setelah hampir menjelang tengah hari barulah tuan guru di sebut tadi tiba.(Beliau ialah Almarhum Tuan Guru Datuk Haji Hashim, Mudir Pondok Pasir Tumboh)  yang dinanti tiba, lalu dia duduk dan bersalaman dengan saya dan datuk saya.

Mereka berbual rancak dan saya hanya mendengar sahaja, apa lah yang saya faham sebagai budak berusia 10 tahun ketika itu.Tidak lama sejurus selepas itu Almarhum Tuan Guru memanggil saya menyuruh saya duduk berhadapan dengannya, dia bertanyakan nama saya lalu mengambil segelas air, terkumat kamit saya melihat dia membaca ayat  ayat, selepas itu dia meludah di atas tapak tangannya lalu di calit pada ibu jarinya dan disapu air liurnya pada dahi saya.Selepas itu dia menyuruh saya meminum air dalam gelas yang telah di ‘jampinya’ tadi.

********************************************************************************************************************

Disember 2007, sekira kira 3 minggu selepas saya menamatkan peperiksaan SPM, saya menerima sepucuk surat sampul besar, bertulis ‘urusan seri paduka baginda’.Jangkaan saya tepat, syukur Alhamdulillah saya di terima masuk ke program persijilan Tahfiz Darul Quran – UIAM dan saya di kehendaki melaporkan diri di sana pada 29 Disember 2007 iaitu lebih kurang 3 minggu selepas saya menerima surat ini.

Insya Allah kisah pengajian saya di sana akan saya perincikan dalam entry saya yang seterusnya.

Mac 2009, Alhamdulillah saya berjaya mengkhatamkan 30 juzuk hafazan AlQuran saya.17 bulan yang sungguh mendakap kenangan.

2012

Ketika saya cuti panjang di kampung saya, selalu saya menerima undangan untuk meng’conduct’ tahlil atau membaca AlQuran selepas kematian, sudah menjadi adat kebiasaan di kampung kampung untuk tahlil 7 malam berturut turut dan pada malam ke 40 kematian di adakan tahlil dan kenduri sederhana, tidak kurang juga ada rumah rumah ahli keluarga waris si mati menjemput beberapa orang untuk membaca AlQuran kepada si mati selepas seminggu kematian.Orang Kelantan memanggil ia sebagai ‘tunggu kubur’.

Saya tidak mahu menjadikan isu bidaah atau pahala bacaan itu sampai atau tidak kepada si mati, biarlah mereka yang lebih arif menghakimi tentang isu ini dan saya punya pendirian saya sendiri tentang isu ini.Yang penting ukhuwah dan persaudaraan sesama masyarakat adalah isu pokok yang lebih utama daripada berbincang tentang perkara furu’/ bercabang cabang yang sudah selesai diperdebatkan oleh ulama terdahulu.Tidak mahu saya digelar pelajar jurusan agama tetapi tidak mahu bercampur dengan masyarakat digelar kera sumbang disebabkan perkara perkara sebegitu.

Pesan guru saya, kita doakan sahaja moga moga bacaan kita itu sampai kepada si mati dengan izin Allah, jikalau tidak sampai, pahalanya tetap akan sampai kepada kita juga.Usah difikir fikirkan sangat.

Berbalik kepada kisah jemputan saya tadi, pada suatu malam saya di jemput oleh jiran saya yang baru sahaja kematian ibunya untuk pergi membaca AlQuran di rumahnya, usai solat isya’ di surau berhampiran saya pergi ke rumahnya, kelihatan imam dari kampung yang lain juga turut ada pada malam itu.Saya perhatikan semuanya ada 15 orang pak cik pak cik yang di jemput ke rumah jiran saya itu, saya agak segan sedikit pada malam itu mungkin kerana saya yang paling muda sekali dalam kalangan mereka ini, kebanyakan mereka sekira kira dalam lingkungan usia 40-50 tahun.Saya hanya duduk sementara menunggu AlQuran di agih agihkan.

Setelah mendengar pak cik pak cik itu berbincang saya sekadar mengiyakan sahaja, persetujuannya setiap kami baca 2 juzuk seorang bagi mengkhatamkan 30 juzuk.Kami memulakan bacaan, untuk 30 minit pertama bacaan saya masih betul dan seupaya saya cuba membaca dengan betul, tapi apabila pak cik di sebelah saya sudah habis satu juzuk saya masih dipertengahan juzuk saya, seorang demi seorang pak cik menghabiskan bacaan mereka untuk masuk ke juzuk seterusnya membuatkan saya tidak tentu arah, lalu saya melajukan bacaan saya, semakin lama semakin laju hinggalah habis juzuk yang pertama dan masuk pula juzuk ke dua juga saya lajukan, sudah tidak elok lagi bacaanya, matlamatnya hanya satu mahu menghabiskan bacaan secepat mungkin, keadaan ini berlarutan sehinggalah kami semua habis bahagian masing masing.

Habis tapi habis kelegaan, seolah olah baru selepas menghabiskan larian 100 meter.

Air diteguk, perit terasa tekak.2 juzuk tidak sampai satu jam.

Tajwid ke mana, Tadabbur usah di kira.Astaghfirullah

Tapi apa yang saya perhatikan anak kepada si mati, tidak pula sibuk sibuk membaca AlQuran kepada ibunya, tidak pula lelah lelah, perit tekak membaca bersama kami.Dia hanya duduk memerhatikan sahaja bacaan dengan kami.Sedangkan kalau dikira bacaannya itu lebih afdhal dan lebih pasti sampai pahala bacaan kepada arwah ibunya.

“Tiga perkara yang tidak akan terputus selepas kematian anak adam itu, doa daripada anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan amal jariah yang beliau lakukan semasa hidupnya dahulu”

Wallahua’lam.Saya bersangka baik sahaja kepadanya.

***************************************************************************************************************

Itu secebis kisah saya dan surat cinta saya, surat cinta anda semua.Dari pengirim yang paling istimewa.

Suatu penyesalan berbekas di jiwa saya, apabila janji yang telah saya pahatkan semasa penghujung perjalanan saya di Darul Quran hampir tiga tahun lalu telah saya lupakan.

Iaitu janji saya untuk mengulang dan menjaga hafalan saya sebaik mungkin.

Kesibukan di kampus serta tiadanya biah atau persekitaran yang baik menyebabkan saya culas untuk ‘iadah dan mengulang hafalan saya.

Itulah sebesar besar ujian yang seringkali saya tewas.

Benarlah kata para ustaz saya dahulu,

“ Al Quran ni kalau sehari kita tinggal dia, 2 hari dia tinggal kita, kalau kita tinggal dia 2 hari dah 3 hari dia tinggal kan kita..”

Kata kata yang seakan luput dari ingatan saya tapi sehingga hari ini meninggalkan bekas yang mendalam.

Sehingga pernah suatu ketika saya tidak menyentuh langsung Al Quran selama beberapa hari, astaghfirullahalazim!

Alasan tiada masa dan kesibukan bekerja merupakan suatu alasan yang saya kira sungguh clise dan ‘common’ yang sering dituturkan.Sedangkan kalau difikirkan kembali lebih ramai orang yang lebih sibuk, lebih banyak komitmen, tumpuan dan tugas yang mereka harus berikan, namun masih sempat membelek helaian helaian malah mampu menghafal lagi!

Ini tidak lain merupakan malas, malas untuk membaca Quran.

Malas membaca Quran, merupakan petanda hati yang telah sakit dan menunggu masa untuk mati.Hati yang telah keras dan sakit, sudah tidak mampu merindui kepada perkara perkara yang membawa kebaikan justeru merasakan tidak berhajat kepada petunjuk serta kebaikan yang terkandung dalam surat cinta Nya kepada kita.

Iya, benar sekali, sehari sekali kita tidak membacanya walau satu muka, hati kita sudah kehilangan satu antibodinya, dua hari kita tinggal, kita telah kehilangan satu lagi antibodi kita, tiga hari kita tinggal sudah tiga antibodi kita hilang..bayangkan seminggu, dua minggu.

Lama kelamaan kita sudah tidak sedar, kita sudah berpenyakit, tapi berlagak sihat.Ibaratnya orang yang dihinggapi kanser, mereka tidak sedar bahawa sel kanser itu makin merebak dalam tubuh mereka, hakikatnya disedari apabila mereka sudah berada pada tahap paling kritikal, pada tahap ke empat,saat rambut sudah mulai botak, badan sudah tidak berdaya barulah tergopoh gapah mahu mencari penawar dan ubatnya, walaupun sebenarnya sudah terlalu lambat mahu berbuat demikian.

Kaji dan renunglah kembali mengapakah kita sudah tidak lagi menerima surat cinta daripadaNya.Maksud saya disini dikurniakan Allah kemahuan keinginan untuk kita membaca surat surat cinta yang di utusNya kepada kita.Apakah yang menyebabkan si pengirim sudah tidak lagi berminat mahu mengirimkan warkah Nya kepada kita, tidak lain berpunca daripada kita sendiri.Mungkin kerana petanda hati yang telah nazak atau sakit sehingga si pengirim sudah tidak berminat untuk menghantar suratNya kepada kita lagi.

Bermula daripada kita sendiri, kita yang tidak pernah membalas surat suratNya, dengan membacanya.Ibaratnya kita menghantar surat kepada seseorang namun tidak pernah mendapat balasan, lama kelamaan kita sendiri sudah jemu untuk berutus surat dengannya.

Sekadar analogi buat renungan saya yang sering terleka.

Jadi, bagaimanakah supaya kita dapat menerima kembali surat surat tersebut.Tidak lain  kita  membalas dengan membaca kembali surat surat dan kalam kalam Nya yang telah sekian lama tersimpan bersama kita, moga moga dia berkenan untuk mengirimkan surat suratNya kepada kita kembali.

Pada akhirnya, semaklah pada diri kita, sama ada kita membaca kalamNya itu kerana adat yang telah terbiasa sejak daripada kecil lagi, contohnya sejak dari kecil lagi selepas maghrib dididik untuk membaca Quran atau memang ia telah menjadi keperluan bukan kewajiban atau tanggungjawab kepada kita.

Bagaimana mahu menyemaknya, semaklah sewaktu usai kita menghabiskan bacaan Quran kita, adakah selepas kita menghabiskan bacaan kita yang berhelai helai itu tanpa memahami walau sepatah perkataan, kita sudah rasa lega dan berpuas hati.Sudah selesai tanggungjawab kita pada hari itu.Ibaratnya kita membaca buku pelajaran sehari semalam tapi tiada satu perkataan pun di dalam buku tersebut yang kita fahami, apakah yang kita rasakan.Tidak lain itu petanda kita membacanya hanya sebagai adat dan kebiasaan sahaja kerana telah dididik semenjak daripada kecil untuk membaca Quran.

Tapi sebenar benar bacaan walaupun hanya semuka tapi kita mampu memahami patah patah perkataan di dalamnya itulah sebenar benar yang bernilai di sisi Allah.Mahukah kita menerima surat daripada seseorang tapi kita membacanya tanpa memahami langsung isi kandungan surat tersebut, bagaimana kita mahu membalasnya nanti andai kita tidak memahami apa yang diperkatakan oleh si pengirim. bukankah sia sia namanya perbuatan kita

Justeru, hargailah peluang kita pada usia muda ini, saat mata masih cerah dan luas untuk membaca, sementara gigi masih ada untuk menyebut makhraj makhraj huruf dengan betul, selagi ingatan masih kuat untuk menghafal dan mengenal hukum hukum tajwid dalamnya, berusahalah pada neraca keikhlasan dan keperluan, bukan sekadar kewajipan dan tanggungjawab.Janganlah pula kelak pada hari kematian kita kelak kita menyusahkan orang yang masih hidup untuk menghabiskan bacaan berjuzuk juzuk kepada kita, dengan harapan pahala bacaan itu kelak akan menjadi syafaat kepada kita, sedangkan semasa hayat kita di dunia tidak pernah pula kita menyentuh AlQuran apatah lagi untuk membacanya.Risau saya takut takut ia berulang seperti di dalam kisah saya di atas.Berusahalah sehabis mungkin di dunia ini, walau susah, walau merangkak bacaan kita, kerana kelak kita juga yang akan menuai hasilnya.

Itulah secebis kisah saya dan surat cinta saya yang jarang sekali dibalas, walaupun seseorang itu dijampi oleh tokguru sekalipun, walaupun dia mendapat pendidikan di pusat tahfiz yang terbaik sekalipun, namun belum tentu ia akan menjamin ‘eratnya’ hubungan dengan Quran berpanjangan, kerana ia merupakan proses berterusan dan berpanjangan, serta tidak mempunyai  destinasi yang berpenghujung.Andai kata dia itu seorang Al Hafiz terkemuka sekalipun, tetapi dia tidak meneruskan usahanya berterusan, suatu hari nanti dia juga akan tewas.Tiada teman sesetia dan serapat Quran yang kita tidak pernah jumpa rakan dan teman sebaiknya, kerana mudah mudahan kelak bila di dunia ini kita sentiasa menjadi teman mereka, saat kita kesunyian di sana kelak, mereka akan datang membawa pelita dan cahaya serta meluaskan lagi tempat kita di sana, dan bila tiba saat perhitungan kelak mereka datang membawa pertolongan/syafaat kepada kita, inilah sebenar sebenar sahabat, sahabat hingga ke syurga!

Sebahagian dalam watak watak dalam kisah ini juga, sebahagian daripada mereka telahpun kembali ke rahmatullah.Sedikit yang saya baca hari ini, saya harapkan moga moga ia sampai juga kepada mereka buat menemani mereka berkelana di alam jauh di sana.

Mampu membacanya walau sekali sehari merupakan suatu petanda rahmatNya kepada kita.

Mampu membacanya dan memahaminya merupakan rahmatNya juga kepada kita.

Mampu membacanya, memahaminya dan menyampaikan(mengajarkan) kepada orang lain merupakan sebesar besar rahmatNya kepada kita.

“ Ya Allah hiasilah diri kami dengan keindahan AlQuran, muliakanlah kami dgn kemuliaan AlQuran dan serikanlah hidup kami dengan ketinggian martabat AlQuran  dan pakaikanlah kami pakaian permata AlQuran, masukkan kami ke dalam syurga dengan syafaat AlQuran. Selamatkan kami dari segala bencana dunia dan azab hari akhiratdgn berkat kehormatan AlQuran.

Ya Allah jadikanlah AlQuran semasa hidup kami didunia sebagai rakan, dan di dalam kubur sebagai kawan yg mesra, pada hari kiamat sebagai pembantu, sebagai cahaya penyuluh, semasa menuju ke syurga sebagai teman, dan sebagai penghalang dan pendinding dari api neraka, dan jadikanlah AlQuran utk kami sebagai panduan dan ikutan kepada segala kebaikan, dengan limpah kurnia, kemurahan dan kemuliaanMu jua ya Allah, Tuhan yg Maha Pemurah. Amiin ya rabbal alamin!”

“Sekarang ni baru adik tahu bah, kita mengaji untuk kita bah! untuk kebaikan kita, bukan untuk Allah!”

“Dan Kami turunkan sebahagian ayat-ayat Al-quran adalah untuk digunakan sebagai penawar dan pembawa rahmat kepada orang-orang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim itu melainkan kerugian.” (Al Isra’:82)

Advertisements

3 responses to “Saya dan Surat Cinta yang tidak berbalas…

  1. hmm saya ni budak tak makan saman.dulu mengaji dgn ayah tak jalan.pergi mengaji dgn ustaz,banyak kali kena tengking jugak,tapi asyik gelak,lepas tu sengih lepas tu tak dapat main2 dgn lidi iqra,tercampak dekat ustaz.ustaz tu pun macam malas nak layan dah.nasib baik la jugak saya jenis cepat tangkap 🙂 your writing never cease to amaze me.hope one day I can write as good as you.Your use of language and grammar just..perfect ! ^^

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s