Selamat Pengantin Baru akhi, ukhti!


“Baba..baba..yang ni ada sayur, Ali tak nak makan..buang buang..”

“ Baba..air Milo Amiir dah habis la baba, mintak la air yang lain baba..cepat la baba..”

“ Baba..Ali tak nak makan nasik ni, sebab kena kuah, dah pedas, tukar lah baba..”

Saya tersenyum sendirian, melihat gelagat ketiga ketiga anak saudara saya, Muhammad, Amiir Husaini dan Ali Huzaifi, petang itu sebelum saya pulang kembali ke UIA, saya bersama abang saya sempat singgah makan malam di Flat Bukit Angkasa, Pantai Dalam, kedai Kelantan yang cukup terkenal dengan ayam goleknya, setelah seharian kepenatan di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC.

“ Baba..gigi Ali sakitla, rasanya ayam lekat kat celah gigi”

Lalu abang saya, cuba mengeluarkan sisa ayam yang terlekat pada celah gigi anak bongsunya itu.

“ Sakit lagi?? “ Abang saya bertanya

“ Aah..sakit lagi, baba..tak boleh makan ni, gigi Ali sakit, macam mana ni..alaaa” anak kecil berusia 6 tahun itu merengek.

Puas abang saya menggunakan jarinya mengeluarkan sisa tersebut, namun gigi anak saudara saya itu masih sakit.Entah, saya pun tidak tahu apakah jenis isi ayam, susah benar mahu keluar.

“ Baba..air amiir dah habis, amiir minum air baba lah..” Tukas anak saudara saya yang kedua, Amiir Husaini, lalu di hirup air babanya yang belum disentuh itu sampai habis.

“ Tuhla..kan baba dah cakap, makan nasik dulu, jangan cepat nak minum air..cepat cepat makan nasik, kejap lagi mahu hantar ayah su balik pula” Abang saya, separuh tenang bersuara.

“ Muhammad, sudah la baca buku tu, makan nasik cepat, dah lambat ni..”

Saya perhatikan dari tadi lagi, nasi abang saya tidak disentuhnya, mungkin sudah sejuk, sedangkan nasi saya sudah separuh habis, airnya apatah lagi belum sempat disentuhnya, sudah di habiskan oleh anaknya.

Usai membayar, semasa bersiap siap mahu bergerak pulang..

“ Baba..Ali sakit perutla..nak gi bilik air ni…”

Abang saya tenang sahaja, tidak jadi kami balik.Saya duduk kembali dengan Amiir.

“ Mari..mari cepat..cepat..” Tegas abang saya membawa anaknya ke tandas.

“ Baba..baba..Muhammad pun nak pergi jugak..” Muhammad si abang pula, juga mahu ke tandas.

Saya melihat abang saya ini sabar sahaja, raut wajahnya tenang bersahaja.kalau anak anak saya sendiri, hai entah apa pula jadinya.

******************************************************************************************************************

Pada suatu hujung minggu beberapa tahun lalu, kebiasaannya saya akan bermalam di rumah abang saya yang kedua di Sri Damansara, sekali sekala bagi menghilang kebosanan berada di Darul Quran.Pada masa itu abang saya yang kedua baru sahaja melahirkan anak perempuannya yang sulung, sambil sambil saya tinggal menziarahi mereka bolehlah juga saya bermain dengan si kecil yang baru beberapa bulan itu.

Kebetulan pula anak saudara saya itu demam, badannya panas, matanya merah, hidungnya berair air.Kasihan pula saya melihatnya, kadang kadang merengek, mungkin berasa tidak selesa.Maklumlah, kita yang dewasa ini pun kalau demam pun, segala yang dibuat tidak kena, duduk pun lenguh, berdiri pun tidak selesa, tidur tidak lena, apatah lagi bayi yang baru berusia beberapa bulan.

Saya memerhati sahaja abang saya, penat mendukung, lalu diletakkan kembali, anak itu menangis kembali.Mungkin susah mahu bernafas agaknya hidung berair.Selepas itu kakak ipar saya pula, mendukung memujuk mujuk, berhenti sebentar merengek.

“ Hmm..kalau tak kebah juga, malam ini kena bawa pergi ke klinik ni..kesian pula” kata abang saya pada isterinya

“Itulah..nanti kita cuba suap ubat yang ada tu dulu, cuba tengok berkesan ke tak..” tukas isterinya.

Saya melihat bibit kerisauan pada wajah mereka, maklumlah anak sulung demam, mereka juga baru setahun berkahwin, tiada pengalaman agaknya mahu mengendalikan anak kecil yang diserang demam, semua dibuat dirasakan tidak kena.

Pada malam itu saya tidur sedikit lambat, sekira kira pada masa itu sudah hampir jam 3 pagi.

Tiba tiba saya terdengar anak itu menangis, selang beberapa minit kemudian, dengar suara kakak saya sedang memujuk mujuk, makin kuat pula tangisan anak saudara saya itu, saya mendengar dari dalam bilik saya sahaja, bunyi kakak ipar saya keluar masuk ke dapur, mengambil ubat agaknya, atau membancuh susu kepada anak itu.

“ okay..okay..mama ada sayang..syuhhh..tidur..kesian adik demam ya..tidur ya sayang..” sayup sayup kedengaran suara mamanya memujuk.

Lama kemudian, anak itu berhenti menangis, merengek.

Senyap seketika.

Sekira kira saya melelapkan mata.

Anak itu merengek kembali, kali ini lebih kuat.

Saya terjaga kembali.

“ sayang..kenapa ni, panas badan ya..mama ada sini..tak mau nangis nangis macam ni..” kedengaran kakak ipar saya memujuk.

Tidak henti henti juga.Makin panjang esakannya

“ Kenapa ni..hmm..esok kena pergi klinik juga ni..tak berkesan ubat kita bagi tadi “ saya terdengar abang saya pula, separuh mengeluh.Mungkin dia terjaga akhirnya.

“ Abang dukung pula Insyirah ni, tangan saya ni dah lenguh lah, dia tak mau diletak, asyik nak kena dukung aja..” kakak saya bersuara lemah.

Jam sudah hampir 4.30 pagi, rengek anak itu makin perlahan.

Saya pula yang tidak lena malam ini.

Pagi kesokannya, saya lihat semua mata kakak dan abang saya bengkak bengkak.

“ aii..mata awak pun bengkak jugak ke dik ” kakak saya menegur.

“ hihi..maklumlah Insyirah buat ‘konsert’  sampai pukul 5 pagi malam tadi, nak tidur macam mana”

Saya gelak sahaja, sambil bermain dengan anak itu dan Alhamdulillah dia semakin sihat.

********************************************************************************************************************

Suatu pagi, semasa saya sedang menyapu nyapu daun rambutan gugur di tepi pagar rumah saya, mak cik jiran sebelah rumah saya menegur saya.

“ eh..bila balik..lama ke cuti..? “ dia memula bicara.

“ erm..dah nak masuk 2 minggu dah..lama jugalah cuti kali ini..ambil part time jadi tukang kebun rumah nih la kejap mak cik..hihi ” saya ketawa kecil.

Saya lihat dia sedang mendukung seorang kanak kanak, sekira kira dalam usia 2 atau 3 tahun.Mak cik jiran sebelah rumah saya ini pula tidaklah berapa tua sangat, saya kira hujung 50 an.Cuma saya sedikit hairan, hari tu budak lain, ini budak lain pula.

“ ini cucu yang mana nii cik..tak pernah Nampak pun “ tanya saya sambil membuang buang kerengga di baju.

“ oo..yang ini cucu Mak cik yang anak nombor dua ni..diorang minta tolong jaga..” jawab Mak Cik bersahaja.sesekali tangan kanan lenguh tangan kiri pula bertukar dukungan.

“ ohh larat lagi Mak Cik jaga cucu cucu ni..maklumlah budak budak tengah besar, mesti penat jugak ni..” saya menambah

Mak cik itu termenung sebentar, saya menghidupkan api untuk membakar daun daun rambutan kering.

“ nasib baik musim kemarau sekarang mak cik, kejap je api ni ‘makan’ daun daun ni, nasib baik rambutan ni ada hasil juga, kalau takde hasil malas jugak saya nak menyapu daun dia ni..banyak pula tu yang luruh..” saya buat buat membebel,  sengaja, mahu menganggu lamunan dia.

“ itulah..kadang kadang penat jugalah, kita ni semakin tua, bukan semakin muda, nak kejar budak budak ni, kadang kadang diorang ni lagi laju dari kita..tak terkejar kita dibuatnya..” kata Mak Cik itu separuh mengeluh.

“ kadang kadang rasa juga mahu berehat, tapi fikirkan anak anak ni, kasihan pula diorang, kamu tahu sahajalah sekarang ini, kalau mahu menghantar anak anak ke pusat jagaan ke atau gajikan pengasuh, seorang paling kurang pun dah dua tiga ratus.kalau anak ada tiga empat orang, maunya dekat ribu ribu kos mengasuh anak” dia menambah.

“ Hmm..iyalah mak cik..tapi harapnya anak anak kena faham jugalah, kalau seorang dua kena jaga tidak mengapa, boleh juga buat peneman sunyi, main dengan budak budak ni seronok.tapi kalau ramai ramai, sakit juga kepala kita dibuatnya!” saya menyambung.

“ Itulah..tidak mengapalah selagi larat, apa salahnya bantu anak anak..eh mak cik naik dahulu ya, mahu masak untuk tengah hari ni, nanti lapar pula budak budak ni” ujar Mak Cik tergopoh gapah mengakhiri perbualan kami.

**********************************************************************************************************************

Itu sebahagian kisah hidup, ibarat kitaran yang kelak akan berlaku ke atas diri kita.Saya ceritakan kisah daripada awal perkahwinan sehingga masuk ke penghujung usia, semua itu kita akan lalui dan rasainya.

Belum lagi dimasukkan kisah konflik rumah tangga antara mertua dan menantu, kisah anak anak yang bermasalah yang memeningkan ibu bapa, masalah kewangan, bagaimana mahu menyara isteri dan anak dan bermacam macam lagi masalah yang kadang kadang tidak terlintas di fikiran kita.Belum tentu cukup muka surat saya mahu diceritakan semuanya!

“ Kenapa kau nak kahwin awal sangat ni..tak rasa terlalu awal ke..tambahan lagi kita masih lagi belajar ni..sabarlah kejap ” tanya saya kepada kawan saya, beria benar hajatnya mahu berkahwin semasa belajar ni.

“ aku..rasa tak mampu lah lama lama..takut terjebak dengan perkara perkara lain pula..lebih baik dicepatkan sahaja..” kata dia separuh mengeluh.

“nantikan selepas kahwin, aku dengan isteri aku, nak pergi makan sama sama, kami nak study sama sama, tunjuk kat orang kami ni ‘kapel’ halal..”dia menambah.

“wahh..indahnya kan..lagi?” saya sekadar mengacah.

“ ohh..nanti aku nak bawa dia pergi jalan jalan, pergi situ pergi sini, tak payah runsing dah, mesti dah tak timbul fitnah kami dah kahwin, buat contoh kat adik adik ni..”dia seronok bercerita angan angan dia.

Saya ketawa sahaja.

“ haa..lagi satu kau tahu, setiap benda yang kita buat dengan pasangan kita ini, dikira ibadah tau, haa lepas ini kalau aku nak mesej mesej dengan isteri aku, banyak je pahala masuk..”

Wahh bersemangat sungguh kawan saya ini, memang patutlah kalau dia sudah sampai ‘seru’ pun.

“ Itu sahaja?” saya bertanya

“ iyalah..habis tu kau fikir apa..kau jangannnnn..” dia meninggikan suaranya di hujung tuturnya.

“ oit..ke situ pula kau..maksud aku..tuh je ke yang kau fikirkan fasal kahwin ni..”saya bertanyanya kembali.

“ haa yelah..tuh jeala bhaiii..takkan sampai beranak bercucu..kita ini muda lagi, belajar lagi, takkan nak suruh bakal zaujah aku itu mengandung..muda lagi kot..” dia membantah.

Saya menggeleng geleng sahaja.

Saya teringat kata kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam salah satu tulisannya: dia menulis;

“Jika mahu bercinta, jangan merancang hanya ke pelamin. Masukkan sekali urusan lampin. Kerana rumah tangga bukan Utopia cloud nine”

Tulisan saya ini bukanlah bertujuan mahu menakutkan nakutkan dan menunjukkan perkahwinan itu sebagai satu medan yang perit lagi memahitkan atau lebih teruk lagi sebagai ‘neraka dunia’

Tetapi saya hanya mahu mengajak kita berfikir secara ‘BIG PICTURE’, banyak banyakanlah sudut pandang, sudut fikiran, luas luaskanlah pandangan anda pada sebuah tajuk iaitu ‘perkahwinan’.

Sebab itulah, kadang kadang saya merasa sedikit kesal apabila ramai dalam kalangan seusia dengan saya berkahwin hanya sebab mahu keluar bersama, supaya tidak mudah dijebak maksiat, supaya selepas ini dapat belajar study bersama sama, dapat berpegangan tangan tanpa adanya halal haram lagi dan macam macam lagi, menyebabkan saya terfikir sebab itu sahajakah kita berkahwin?

Cetek dan remeh sungguh kita menilai erti sebuah perkahwinan itu.

Ya, benar saya tidak nafikan yang salah satu daripada tujuan perkahwinan adalah mahu mengelakkan muda mudi hari ini dijebak dan terjebak dengan maksiat, bagi memelihara keturunan dan sebagainya, saya sudah faham, namun saya cuba mengajak kita semua, besar besarkanlah sudut pandang kita dalam menilai perkahwinan itu, berhentilah hanya setakat tergambar mahu  update status di facebook atau tweeter bercerita suami tolong bukakan pintu kereta untuk isteri , ataupun si suami pula isteri memasak tertumpah sesudu garam dalam nasi goreng pun mahu kecoh diceritakan juga, tetapi bahkan ia lebih besar daripada itu, sebab itu saya ceritakan di atas tadi kisah membesarkan anak, menjaga anak sehingga kita terpaksa menjaga cucu kita kembali!

Saat kita menerima ijab dan qabul sebagai suami dan isteri, maka kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan kita, tetapi kita telah berkahwin dengan masa depan kita. Sebab itulah saya katakan andai kita seronok seronok menceritakan indahnya hidup berkahwin, manisnya hidup punya teman, cantiknya hidup berumah tangga, namun pada masa yang sama, depa depakanlah tangan kita, besar besarkanlah jiwa kita untuk menghadapi pahitnya juga kehidupan berumah tangga ini.Andai kata kita setiap hari terliur mengidam madu, akan ada harinya juga, kita juga harus sanggup menelan hempedu.

Habis, kalau begitu nak tunggu bersedia, sampai ke anak cucu, memang alamat dia sampai ke mati belum tentu dapat berkahwin.

Mungkin hati kecil akan berkata begitu.

Hakikatnya kehidupan pernikahan dan alam rumah tangga adalah suatu perjalanan yang tiada berpenghujung.Belum tentu orang yang sudah cukup lengkap persediaan untuk berumah tangga, akan berjaya mengharungi samudera kehidupan berumah  tangga serta akan sampai dengan selamat hingga ke akhirnya dan belum tentu orang yang tidak punyai persediaan yang secukupnya tidak mampu untuk mengharungi samudera kepayahan kehidupan berumah tangga itu.

Oleh kerana perkahwinan itu merupakan suatu perjalanan yang jauh lagi kan panjang, ia mengharapkan orang orang yang benar benar sabar dan besar jiwa menghadapi mehnah ujian serta sanggup mengutip mutiara hikmah di sebalik badai ujian dalam kehidupan dengan pasangannya buat memandu merempuh liku perjalanan nun jauh di hadapan, andai dia itu sudah bersiap sedia sekalipun, sejak dari awal perkahwinan lagi, segala ilmu ilmu rumah tangga habis dihadamnya, namun tiap kali dilanggar badai ujian, dia tidak pernah besar jiwa untuk menerima hikmah dan mengambil pengajaran daripada ujian yang melanggarnya, mudah kecil hati dengan kepayahan ujian, akhirnya dia akan sentiasa mengulangi kesilapan yang sama dan lama kelamaan akan sendirinya meruntuhkan rumah tangga yang dibinanya itu.

Manakala orang yang mungkin persediaannya itu tidak banyak, mungkin kadangkala kurang di situ, lemah disini, namun dia besarkan jiwanya, tidak pernah kecil hati dengan kepayahan yang di hadapinya, bahkan berlapang dada pada ketentuan Nya, serta tiap kali dilanggar ujian dia cepat cepat belajar, mengutip mutiara mutiara hikmah buat bekalan berjalan menempuh jalan berliku di hadapan, dia tidak akan mengulang kesilapan yang sama dan pada akhirnya dia akan sampai juga ke matlamatnya.

Analoginya mudah sahaja.

Ahmad memiliki sebuah kereta yang mahal, cukup lengkap dengan segala fungsi fungsi canggih masa kini, pendek kata kalau jatuh lubang sedalam 6 kaki pun memang tidak akan terasa dek kerana kecanggihan teknologinya!

Namun, kerana Ahmad  ini terlalu syok sendiri, bangga dengan mahalnya kereta, akhirnya dia tidak servis keretanya, minyak hitamnya jarang sekali bertukar, diletak dibiarkan sahaja ditengah panas, calar calar yang kecil kecil akibat terkena serpihan kerikil langsung tidak diendahnya, akhirnya kereta itu rosak dan buruk sebelum waktunya! Memandu dekat sahaja sudah semput, memandu untuk ke tempat jauh, tiada harapan langsung.Tiada lagi kemegahan seperti dahulu, menunggu masa untuk di jual kepada besi buruk sahaja.

Berbanding dengan Ali yang hanya memiliki kereta murah sahaja, kereta tempatan, tiada fungsi fungsi canggih, kalau jatuh ke dalam lubang, bukan Ali sahaja yang sakit, namun tayarnya juga pancit.Tetapi Ali ini bersabar, setiap bulan apabila jarak perjalanannya sudah cukup hadnya, akan ditukar minyak hitamnya, servis bulanan tidak pernah lupa, calar sedikit segera dipolishnya agar tidak nampak dipandang orang, kereta juga diletak di tempat teduh, akhirnya meskipun sudah lebih 10 tahun dia memakai kereta itu, tetapi masih lagi tetap baru, gagah memandu mendaki bukit.Bebas ke mana mana.

Begitulah perkahwinan dan berumah tangga, kerana ia adalah suatu proses perjalanan, andainya permulaan elok cantik dan cukup lengkap semuanya, tetapi di tengah tengahnya tiada usaha mahu servis, mahu upgrade apa yang patut, lama kelamaan, ia kelak akan dihinggap masalah, sudah menjadi adat barang di atas dunia ini berkehendak kepada ‘maintenance’, ada masanya kita kena servis, ada masanya kita kena baiki di mana kekurangan serta kelemahan, disitulah peri pentingnya kita berjiwa besar dan tidak mudah berkecil hati saat di uji.

Justeru, janganlah terlalu dirisaukan, apakah menakutkan sangat kehidupan berumah tangga itu, kerana saya yakin dan percaya, bahawa perkara yang lebih indah dan manis lebih banyak daripada ujian ujian yang datang sekali sekala buat mengukuhkan lagi perhubungan sesama pasangan kita.

Tulisan yang kerdil ini tidak lain hanya mengingatkan bahawa akan ada suatu masa nanti kita akan gagah melangkah bersama dan akan tiba jua suatu masa nanti kita akan berjalan bertongkat dagu sahaja, maka cekal cekalkanlah dan besar besarkanlah jiwamu dan pasanganmu!

Mengharap sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumah tangga adalah idaman semua, dan ia merupakan suatu antibodi dan penawar yang sungguh mujarab saat rumah tangga di rempuh badai.

Binalah sakinah, ketenangan iaitu tidak lain dengan sentiasa mempercayai antara satu sama lain, buang rasa curiga dan sentiasa bersangka baik sesama pasangan dan anggota keluarga, nescaya tiada rasa sangsi, maka lahirlah ketenangan yang dinanti, bila sudah saling rasa percaya, saling tiada curiga, memandang pasangan kita, melihat ahli keluarga kita sudah rasa tenang, maka akan datanglah mawaddah(kasih sayang), sudah tentu kita akan semakin bertambah mengasihi sesama sendiri dan akhirnya, tiadalah perkara yang akan menimbulkan kasih sayang serta rahmah Allah melainkan melihat hamba hambaNya berkasih sayang di antara satu sama lain.Semuanya terbina pada sebuah sakinah, mawaddah dan rahmah.

Itulah sekadar pandangan saya, seorang bujang yang baru berusia 22 tahun, mungkin saya masih JAHIL akan kehidupan berumah tangga, tetapi saya percaya, ia merupakan suatu perkara yang terindah dalam kehidupan dan moga moga kelak ia menjadi mahar kepada kita untuk ke syurga Nya, Insya Allah.

“Dan orang yang berkata: “Rabbana (wahai Tuhan kami)! Anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang yang bertakwa.“( Al Furqan:74)


Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s