“Saya Pun Bukanlah Baik Sangat..”

“ Okay adik adik, semua boleh beratur ikut kelas masing masing ya, kita akan ke masjid untuk solat berjemaah..” kata abang senior itu, mengarahkan kami untuk segera ke masjid menunaikan solat maghrib berjemaah.

Saya bermalas malasan pergi berjalan menuju ke masjid bersama sahabat saya, Jazli.Azan telah pun berkumandang, kami berdua berjalan bersama sama dalam kumpulan pelajar lain menuju ke masjid.

“Adik adik jangan lupa bawa serban sekali ya!” Jerit abang itu dari kejauhan, berpesan kepada kami untuk memakai serban semasa mahu menunaikan solat.

Menjadi sebahagian daripada warga Maahad ini merupakan sebahagian daripada cita cita saya semenjak daripada kecil lagi dan menjadi kebanggaan saya berjaya memasuki ke sekolah agama yang tersohor yang saya kira kalau sebut sahaja ‘Maahad’ dalam kalangan orang Kelantan pada masa itu, yang tergambar hanyalah Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan, apatah lagi mahu memasuki ke sekolah ini terpaksa melalui proses temuduga serta ujian bertulis, menyebabkan saya semakin bertambah bangga dan bersyukur dapat menempatkan diri di sekolah ini, persekitaran yang baik, tiada pelajar perempuan, pendek kata untuk 5 hari awal bergelar pelajar Maahad semuanya indah indah belaka bagi saya.

Menyertai saya bersama ke sekolah ini, adalah Jazli, rakan sekelas saya semenjak dari darjah satu lagi, mujurlah juga, masuk ke Maahad ini juga pun saya dapat sekelas dengan dia, (Jazli juga memasuki UIA seperti saya, bezanya saya ke Darul Quran dahulu dan dia terus ke Pusat Asasi UIAM), jadi tidaklah saya berasa keseorangan sangat berada di persekitaran baru ini.

Berbalik kepada kisah saya dan malam qiamulail yang diwajibkan kepada pelajar pelajar tingkaan dua itu, yang kebanyakan di kendalikan oleh abang abang senior pelajar tingkatan 4 dan 5, sebahagian mereka juga merupakan pelopor kepada Badan Dakwah sekolah itu yang dikenali dengan nama BALKIS, semuanya berserban besar besar belaka saya perhatikan.Saya yang baru bertatih memakai serban ini ibarat memakai sarang tebuan sahaja di atas kepala ni, lucu pula bila fikirkan kembali.

Program pada malam itu di mulai dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat serta diteruskan dengan bacaan yasin, selepas solat isya berjemaah, kami diarahkan untuk naik ke tingkat atas masjid untuk slot pada malam itu, diteruskan dengan kuliah yang disampaikan oleh seorang senior, saya tidak pasti dia itu adalah senior atau pun ustaz jemputan, tajuk pun saya sudah lupa, maklumlah, baru berusia lebih sedikit daripada budak darjah enam, apalah sangat yang saya faham tentang kuliah, tazkirah tazkirah ni.

Seperti biasa port belakang menjadi pilihan, senang mahu bermain, mahu berbual dengan orang sebelah barisana mahu tersengguk pun tidaklah Nampak sangat oleh senior, slot pada malam itu berlarutan sehinggalah jam 11.30 malam, mata saya sudah merah, menguap usah dikiralah, mahu sahaja saya biarkan mulut ini tidak payah di katup, badan sudah letih, Alhamdulillah, slot itu sampai ke penghujungnya.

“ Adik adik, selepas minum malam selepas ini sila tunggu di bahagian bawah masjid, kita ada sedikit aktiviti lagi..” tegas seorang abang

Aduh..bagaikan petir menyambar.

“ ehh..aduh..ada program lagikah selepas ini..tak tahu ke kami dah penat, mengantuk, esok nak kena bangun pagi, qiam lagi, melampau betul! Rungut saya pada Jazli.

“hmmm..” Jazli sekadar senyum tawar sahaja, mata dia pun sudah merah saya tengok.

Usai minum, kami diarahkan mengambil wudhuk dan duduk dalam barisan kelas masing masing.

Sungguh saya tidak larat, mengantuk yang amat sangat.

Begitu juga saya perasan pelajar lain, bermalas malasan mengambil wuduk, berjalan pun semacam orang tidak cukup makan setahun.

“ Cepat sikittttttttttttttt!!!!!!..lambat macam siput” Tiba tiba satu jerkahan kuat dari seorang senior yang berada di pangkal tangga masjid.

Hampir mahu luluh gugur jantung saya terkejut, terkocoh kocoh saya mengambil wuduk di kolah masjid.

Pelajar lain bagai direntap elektrik, terus kelam kabut berlari ke dewan solat masjid.

“ Duduk dalam barisan!” abang tu sekali lagi menempik deras.Abang senior itu semenjak hari pertama lagi sudah saya dengar akan bengis dan garangnya dia.Tak silap saya dia baru tingkatan 3 atau 4 ketika itu.Habis pelajar yang lambat masa program semua dijerkahnya.

Sunyi.

Tiba tiba lampu di bahagian belakang masjid di padamkan.

Kami kecoh kembali.

“ Diammmm!!!” Abang senior yang garang itu menjerkah dari belakang.

Tangan saya sudah mulai sejuk, berfikir fikir apa pula yang mahu berlaku mala mini.

Keadaan mulai tegang, kami semua tunduk menikus, hanya bunyi kipas sahaja yang berpusing pusing.

Abang itu mula berjalan dan masuk dalam barisan kami, saya perhatikan sahaja dia, jelingan matanya juga sudah mengecutkan hati saya.Berdebar debar saya dibuatnya pada malam itu, mata yang mengantuk tadi, tidak semena mena menjadi cerah kembali, badan yang kepenatan menjadi segar kembali.

“ Duduk semua..duduk..”abang senior itu mengarahkan kami semua duduk.

Saya perhatikan sahaja gerak gerinya di hadapan, sesekali saya memandang ke luar masjid sambil merungut rungut di dalam hati.

“ menyesalnya aku datang ke program macam ni, tidak pasal pasal kena marah, menyesal menyesal..” saya merungut sendirian.

“ siapa yang bawak benda ni datang sini haaa????? “

Abang tu separuh menjerit, menunjukkan beberapa belas cakera padat yang berada di tangannya.Jeritan dia itu tadi memecahkan kesunyian malam itu dan menambahkan lagi degupan jantung saya yang sedia kencang ini.

Semua mata memandang ke tangannya, saya juga tidak ketinggalan, memerhati cd apakah di tangannya itu.Saya hairan juga kenapalah yang datang program seperti saya ini juga, datang bawa cd ke program program macam ini, hari lain boleh bawa, hari ini jugalah yang mereka ‘gatal tangan’ nak bawa, tiada pasal pasal semua terkena ‘getah’ mala mini, cd itu kalau yang senonoh senonoh tidak mengapalah, ini pula cd yang…Aduh…

Tapi yang lebih menghairankan saya macam mana pula abang abang  AJK ini boleh jumpa banyak pula barang barang kami ini, satu persatu barang yang mungkin tidak sesuai dibawa ke sekolah dikeluarkan di hadapan kami, saya memerhati sahaja, saya mengesyaki mungkin mereka menyelongkar beg beg kami yang kami kumpulkan di tempat penginapan semasa slot kuliah tadi.

“ siapa bawa cd niii..cepat mengaku!!” abang itu menjerit lagi, matanya sudah merah menahan marah, serban yang dipakainya di tanggalkan.

Prappppp!

CD itu dipatahkan dengan menggunakan kepala lututnya.Saya tunduk sahaja, tidak mahu bertentangan mata dengannya, semua pelajar juga tunduk ketakutan.

“ kamu nak mengaku ke tak nak ni??” dia bertanya kemarahan.

Prappp..satu demi satu cd itu dipatahkan dengan menggunakan kepala lututnya sahaja.

Selepas itu, dia mengeluarkan pula barang barang ‘terlarang’ yang lain pula.

Pada penghujungnya, dia memberikan kami tazkirah yang agak panjang juga, cukup untuk membuatkan saya tersengguk sengguk beberapa kali, tidak sedikit juga yang sempat saya kutip isi tazkirah yang dia sampaikan.Banyak perkara yang dia ingatkan kepada kami, tentang masalah social, couple dan sebagainya, sedikit sebanyak menimbulkan rasa kagum saya kepadanya.

Iyalah, walaupun segarang garang dia kepada kami, tengking dan jerkah, tetapi dia ini bukanlah bercakap kosong semata, ada isi yang boleh saya tumpang kutip daripadanya.

Selang beberapa tahun selepas saya keluar dari Maahad, suatu hari, semasa membeli beberapa barang keperluan di Kota Bharu, saya ternampak dengan seorang pemuda yang saya cukup kenal, lihat kepada sosok tubuh, muka, memang saya cukup kenal dan pasti akan siapa pemuda itu.

Ya, dialah senior saya, senior yang memarahi kami, yang menengking nengking dan mematah cd pada malam itu menggunakan kepala lututnya, tidak syak lagi.Tetapi siapa pula perempuan yang asyik berjalan bersamanya, tidak mungkin abang ini sudah berkahwin, dia juga masih belajar seperti saya, kalau iya dia berkahwin sudah semestinya sudah heboh, tapi kita pun kadang kadang boleh perasan beza pasangan kahwin dengan pasangan belum berkahwin.Sebolehnya saya berusaha juga mahu bersangka baik padanya, walaupun lintasan lintasan yang tidak baik lebih banyak dalam benak pemikiran saya.Dahulu dia juga yang berpesan kepada kami supaya menjaga pergaulan, jangan mudah terpengaruh dengan gaya remaja sekarang ini.

Penampilan abang ini pun sudah lain macam, tidak seperti dia beserban di Maahad dahulu.Sudah tidak seperti dahulu, iya lah dahulu dia yang merampas seluar jeans yang dibawa pelajar semasa di Maahad dahulu, maklumlah membawa apatah lagi memakai seluar jeans bagi pelajar sekolah agama tambahan lagi Maahad adalah suatu perkara yang terlarang dan dilarang!

Tapi saya melihat dia pula yang memakainya hari ini.

Ya memang betul, abang inilah.bukan orang lain.Tidak syak lagi.

Saya sedaya upaya mengelak agar tidak terserempak dengannya.Bukan apa, malas.

Bukanlah saya ini terlalu skema, tidak boleh memakai jeans, bersosial dan sebagainya.Bagi saya biasa sahaja.Tiada apa yang salah pun.

Cuma apabila berlaku kepada orang yang saya cukup hormati dan kata kata dia sentiasa menaikkan semangat kami sebagai adik adik juniornya, menimbulkan rasa kurang manis dan tidak patut bagi kami dia berperilaku sedemikian, semetelahan lagi dia bukanlah orang yang biasa biasa di Maahad dahulu, tapi orang yang punyai nama, kedudukan, lainlah kalau saya, tiada orang kenal pun, perangai di Maahad dahulu pun tidak seberapa.

Jauh benar dia berubah.Saya berlalu pulang sahaja petang itu sambil benak masih terfikir fikirkan sesuatu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya perhatikan ramai rakan rakan saya melalui suatu fasa perubahan yang saya boleh katakan agak besar juga dalam kehidupan mereka.

Ada yang dahulu pada zaman sekolahnya agak nakal, kaki ponteng kelas, lompat pagarnya, apabila terserempak dengan mereka beberapa tahun kemudian hampir hampir saya tidak mengenali mereka, imej berserban berbaju melayu dan berkain pelikat, cakap percakapan juga sudah lain, ada juga yang saya bertemu semasa sekolah dahulu langsung tidak dipandang dan dikenali orang, namun pada hari ini menjadi orang terkenal, disebut sebut orang, namun tidak sedikit juga yang mengalami perubahan sebaliknya, dahulunya di sekolah tasbih selalu ditangan, jalannya menunduk warak, pemakaiannya bak ustaz, tetapi sekarang ini sudah jauh berbeza, dengan fesyennya, perangainya lagak seperti dia itu bukan belajar sekolah agama dahulunya!

Tidak kurang juga kawan kawan saya yang perempuan, zaman sekolahnya dahulu, tudung labuh menutup dada, labuhnya pula hingga ke betis, namun tidak terfikir pula saya apabila menjadi semakin dewasa, bajunya semakin ketat, tudungnya pula singkat, jauh sekali menutup dada, seolah olah baru belajar bertudung sahaja lagaknya.

Tetapi ada pula yang saya jumpa, hari ini bertudung labuh, bertudung bidang lebar 50, 60 inci, dahulunya kecoh kecoh dan bising bising, namun apabila sekarang ini hampir saya tidak percaya perangainya yang dahulu!

saya teringat pesanan guru saya, dia berkata “ Manusia ni macam tu lah..bila sudah bosan jadi jahat, dia jadi baik pula, bila bosan jadi baik, dia jadi jahat pula..”

Sebab itulah bila apabila orang mengatakan zaman remaja serta zaman peralihan remaja kepada zaman yang lebih dewasa lagi mematangkan amat mencabar dan menduga iman, apatah lagi cabang serta jalan yang bersimpang siur menyebabkan sesiapa yang tidak punya keteguhan iman dan ilmu kadang kadang boleh tersungkur rebah pada jalan mencari perubahan diri.

Usia 15-17 tahun, zaman permulaan remaja yang cukup mencabar, termasuk saya sendiri.Pada usia inilah baru saya tahu akan ‘wujud’nya makhluk perempuan di dunia ini, sebelum ini tiada dalam agenda pemikiran saya akan isu tentang perempuan, pada usia sebegini jugalah saya mula pandai bergaya,kepala saya yang sejak darjah 2 lagi hingga ke sekolah menengah tidak pernah tinggal kopiah walau mahu kemana mana, bila masuk usia 15-17 tahun sudah mula belajar berfesyen mahu menggayakan rambut, hakikatnya tidaklah ‘handsome’ juga, perasan sahaja lebih! Tetapi itulah, bila saya toleh kembali ke belakang, bukanlah kerana kejahilan juga kadang kadang kita sebagai remaja bertindak sedemikian, tetapi cabaran sekeliling memaksa kita berubah.

Hakikatnya usia 15-17 tahun ini, kita masih lagi di persimpangan, jauh untuk membezakan yang mana cantik dan buruk, apa yang disuap, apa yang kita nampak pada persekitaran kita, rakan rakan kita, sekalipun buruk keadaanya, buruk pada pandangan ramai, tetapi tetap cantik di mata kita, tetap menjadi ikutan kita, kerana pada masa itu yang bersesuaian dan selesa dengan kehendak nafsu kita, itulah yang menjadi pilihan kita, jarang sekali perubahan pada waktu ini dipandu dengan ilmu serta kemahuan, tetapi hanya pengaruh rakan dan keadaan sekeliling yang membentuk perubahan yang bersifat sementara ini.

Tetapi bila mula menginjak usia 20-25 tahun, zaman peralihan, pada saat inilah yang akan menentukan bagaimana corak kehidupan kita untuk 20, 30 tahun akan datang.Kerana pada masa ini sudah bijak memilih dan berfikir, sudah lebih skeptical kepada sesetengah perkara, pada saat ini lah juga zaman usrah berkembang biak di kampus kampus kerana betapa ramainya ‘alumni alumni’ zaman remaja yang mahu ‘pulang ke pangkal jalan’, pada saat inilah segala perubahan di pandu ilmu dan pengalaman diri serta dicantumkan dengan gambaran kehidupan pada masa hadapan menyebabkan ramai dalam kalangan remaja remaja yang nakal dahulu semasa di alam sekolah, bila menginjak usia sebegini semuanya berubah menjadi lebih matang dan bertanggungjawab, kerana saat inilah waktu kita mudah mengutip ilmu serta membentuk diri, berbanding tatkala sudah berusia 30 atau 40 tahun, kita sudah tidak punya banyak masa untuk mengutip ilmu ilmu kehidupan seperti mana apabila kita masih gagah pada usia awal 20 an.

Sebab itulah saya katakan tadi, kita pada usia 40 kita adalah ditentukan bagaimana kita mencorak kehidupan kita saat kita berumur 20 tahun.Andai cantik elok ukir letaknya, maka kekal tahan lama kecantikannya dibawa hingga ke mati, tetapi andai umur 20 masih tidak matang, masih seperti sekolah menengah, maka usia 40 kita nanti mungkin masih payah mahu mengenal jalan ke masjid.

Manusia dan perubahan tidak boleh dipisahkan.Tiada manusia yang statik dan kehidupannya tiada pasang surut, melainkan hanya orang yang telah mati sahaja yang tidak berubah rubah, hanyamayatnya sahaja berubah menjadi tanah.

Fitrah manusia itu sendiri berkehendak kepada berubah dan diubah.Sebab itulah antara doa doa yang ditinggalkan Nabi kepada kita yang berbunyi;

“ Wahai Tuhan yang sentiasa membolak balikkan hati, tetapkanlah kami pada agama Mu!”

Merupakan suatu gambaran, jelas bahawa manusia itu sentisa berkehendak kepada perubahan dan suka berubah ubah.

Secara mudahnya kalau boleh saya katakan perubahan itu terbahagi kepada dua, sama ada perubahan daripada yang buruk kepada yang baik, dan yang baik kepada buruk.

“Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam

Terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam

Dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam “

Tinggalan Saidina Ali k.w.h kepada kita yang menuntut perubahan kepada kita!

Justeru, berubahlah kerana sebahagian daripada tuntutan hidup kita.

Namun janganlah melampau lampau di dalam perubahan itu, biarlah perlahan, biarlah mengensot, asal tidak tersembam jatuh kerana mahu yang cepat sahaja.

Berubahlah sedikit demi sedikit.

Janganlah terlalu drastik, semua mahu di ubah, bimbang takut perubahan itu tidak bertahan lama, khuatir ia akan hanya menjadi ibarat empangan yang mengepung air, ditahan tahan dari mengalir, akhirnya dia sebak lalu pecah banjir membelah bumi, begitulah kita, andai tabiat dan perangai yang buruk dahulu itu disekat  secara mendadak dek kerana mahu berubah, bimbang ia tidak jadi berubah, tetapi ia hanya disekat dan ditahan sementara sahaja, tetapi lama kelamaan akan meluap dan pecah, menyebabkan gagalnya proses perubahan itu.

Justeru, janganlah bersikap terburu buru( Al Isti’jal) dalam menanggapi perubahan itu, namun janganlah pula terlalu perlahan, khuatir akan timbul rasa bosan dan jemu, sehingga lama kelamaan semangat untuk berubah menjadi pudar, oleh itu bersederhanalah!Biarlah sedikit, tetapi ia tetap langsung berjalan, sentiasa menuju kepada yang lebih baik, kerana perkiraan Tuhanmu tidak pernah mengabaikan usaha usaha hamba Nya yang mahu berubah menuju kebaikan.

Namun, perubahan tidak cukup hanya sekadar mahu sahaja, tetapi ia berhajat kepada tahu juga.Berapa ramai manusia pada hari ini yang mahu berubah, tetapi ia tidak berusaha untuk menambah tahu bagi mengukuhkan kemahunnya untuk berubah, dia hanya ada ‘mahu’ untuk berubah, dan ‘mahu’ dia itu mungkin disebabkan oleh rakan rakan, ikut ikutan, keadaan sekeliling, menyebabkan dia jadi mahu terikut terikut juga berubah, tanpa membina rasa ingin tahu, ingin menuntut ilmu, pada akhirnya, apabila faktor faktor yang menyebabkan dia berubah tadi seperti rakan rakan, ataupun persekitan yang baik sudah tiada, menyebabkan dia tenggelam punca lalu kembali kepada perangai asalnya, bahkan lebih buruk daripada yang sebelumnya, berbanding orang yang berubah kerana ilmu, kerana tahu, campaklah kemana sahaja, dia menjadi semakin kuat. Justeru, gabunglah tahu dan mahu itu dalam perubahan hidup kita, Ianya lebih bersifat berkekalan dan mengelakkan kita dari tenggelam punca suatu hari nanti.

Saya teringat akan kata kata Ustaz Nasrudin Hassan( Beliau adalah Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat) dalam suatu program tertutup  dengannya, kata kata ini yang saya semat sungguh sungguh dalam benak saya;

Alwaqtu juz’un minna attarbiah!”

“ Masa itu sebahagian daripada tarbiah!”

Ya, berilah masa untuk melihat perubahan, berilah masa untuk melihat kematangan.

Usah diperkira lambat atau cepatnya sesuatu perubahan itu, kerana ia jarang sekali menjadi nilaian Tuhan, tetapi usaha kita jualah yang dihisabNya.

Kerana manusia makhluk Allah yang punya kelemahan, perlukan masa untuk sesuaikan segalanya, justeru bersabarlah, boleh jadi hari ini, kalau tidak besok masih ada, yang penting betapa lapangnya dada kita bersabar untuk melihat perubahan itu.

Manusia tidak mampu mengubah dirinya sendiri.Begitu pun air yang panas baru mendidih  tidak mampu disejukkan tanpa ada ais yang menyejukkan ia.Sama seperti manusia juga, yang memerlukan pemangkin dan pendorong untuk mengubah dirinya sendiri.Manusia mungkin mampu mencipta kekuatan untuk berubah dirinya kea rah yang lebih baik, tetapi dia belum tentu mampu untuk mengekalkan kekuatan dan momentum semangat yang dia ada untuk berubah dengan bersendirian.

Ambillah peluang saat usia masih menginjak muda ini, ikatilah diri, dekatilah diri dengan usrah usrah atau pun gerakan gerakan islam yang ada di sekitar anda.

Sewaktu saya masih belajar di Darul Quran suatu masa dahulu, sedaya upaya saya untuk mengelakkan diri dari menyertai usrah usrah, akibat fobia dengan usrah semasa di sekolah dahulu, bosan lagi membosankan! Boleh dikatakan naqib saya itu orang yang kuat iman jugalah kerana dia di duga oleh rakan rakan saya yang kebetulan mahu lari dari usrah juga, berbagai bagai helah kami cipta, berbagai bagai ragam kami kenakan kepada dia, asalkan tidak menyertai usrah sahaja.Entah, mungkin biah/persekitaran DQ yang solehah, baik, menyebabkan saya tidak rasa ingin atau berkehendak kepada usrah, tiada cabaran yang benar benar menggugah iman saya, kerana pelajar disana semuanya baik baik sahaja, Alhamdulillah.

Namun, sewaktu saya mula mendaftar diri ke Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya beberapa tahun lalu, saya rasa suatu kekosongan dan kelompangan dalam diri saya.Suatu kekosongan yang tak mampu saya ungkapkan melalui kata kata, suasana di UIAM yang jauh berbeza dengan DQ, persekitaran, pergaulan dan kehidupan di sana yang jauh berbeza dan saya rasa sungguh merasakan suatu pemandangan yang asing dalam hidup saya, namun cuba juga saya sesuaikan diri saya, tetapi lama kelamaan, saya rasa seperti tidak kena dan saya risau andai saya tidak kuat menghadapi dugaan hidup disana, mujur rakan saya membawa saya menyertai usrah dan Alhamdulillah saya masih lagi bersama mereka pada jalan ini dan saya pohon didoakan agar saya sentiasa kekal dalam ikatan ini selama mana saya masih bernafas, insya Allah.

Ramai rakan rakan saya yang mahu berubah, saat mereka menginjak dewasa, saat sentiasa beritahu mereka, sertailah usrah, insya Allah kau akan selamat, kerana kekuatan yang kau ada pada hari ini untuk berubah kepada lebih baik tak selamanya ada, tak selamanya tegar, aka nada suatu hari, kekuatan itu makin pudar, yang ada hanyalah keterpaksaan untuk berubah sahaja, pada masa itulah rakan rakan usrahmu akan datang menguatkan, memberikan semangat untuk kita sentiasa dekat pada Nya.

Saya temui ramai rakan rakan saya yang telah berhijrah kea rah lebih baik, ada dahulunya rakan perempuan saya yang bertudung singkat, hanya berselimpang kiri kanan sahaja, namun bila saya terjumpa dengannya beberapa tahun lalu, saya lihat dia sungguh berubah, tudungnya lebar, bidang 60 inci, gaya percakapan dengan saya juga sudah berbeza, sempat saya bertanyanya di facebook, apakah yang merubah dia menjadi demikian, dia memberitahu saya bahawa dia aktif menyertai usrah di kampusnya, dan dia bersyukur ditemukan dengan usrah ini saat usia masih muda lagi, dia sentiasa meminta saya agar mendoakan dia istiqamah pada perubahannya itu.

Begitulah, seperti yang saya katakan tadi, air kopi yang panas itu, tidak mampu disejukkan andai kita tidak memasukkan ketulan ketulan ais di dalamnya, memang betul air kopi itu boleh menjadi sejuk dengan sendirinya, tetapi sudah tidak enak, tidak sedap untuk diminum, kerana terlalu lama dibiarkan, hingga menjadi sejuk, berbeza dengan kopi ais tadi.Sama seperti manusia juga, andai kita berubah semasa masih muda, masih semangat, masih punya kudrat kekuatan dan ketulan ais yang dimasukkan tadi umpama usrah yang menyejukkan dan memberi kelazatan kepada siapa sahaja yang meminumnya, dan boleh menghilangkan keringnya tekak kedahagaan, ya, dahagakan perubahan.

Berbanding dengan air kopi yang menjadi sejuk dengan sendirinya, tanpa dimasukkan ketulan ketulan ais di dalamnya, tidak enak bukan, sudahlah lambat mahu menunggu ia sejuk sehingga boleh diminum, tetapi rasanya mungkin tidak sesedap selazat kopi ais tadi, ya, mungkin suatu masa nanti kita akan berubah dengan sendirinya, apabila sudah tua, bila kudrat sudah tinggal bersisa, hanya semangat kerana fikirkan kematian yang mendekat, sudah tentu rasanya tidak seenak seperti waktu masih gagah muda belia lagi.

Kata Nabi s.a.w:

“ Kekeruhan(keburukan) tatkala kamu berada dalam kumpulan itu, lebih baik daripada kejernihan(keburukan) yang terdapat pada individu(hidup mengasingkan diri)” riwayat Bukhari.

Ya, walaupun sebaik mana pun kita, seelok mana pun kita, andai tidak bergaul, tidak menggabungkan diri dengan kumpulan kumpulan yang menyeru kepada kebaikan, maka jadilah kita kera sumbang yang menunggu masa untuk mencampakkan diri kepada ruang keburukan.

Umpamanya beras siam yang selalu ibu saya belikan di pasar, jarang benar beras tempatan menjadi pilihan ibu saya, kerana berasnya tidak panjang seperti beras siam, dan susah pula mahu kembang berasnya, berbanding beras siam yang berasnya mudah kembang, bak kata ibu saya mudah  ‘penuh periuk’.Tetapi andainya beras siam ini di makan begitu sahaja, tiada lauk, tiada kuah lemak, dan sambal yang memberi pedas sedikit, rasa rasanya tidak lalu saya mahu menelan nasi itu, tetapi nasi itu andai digaul bersama kuah yang lemak masin, sambal yang pedas masam masam sedikit, ditambah lauk dengan kegemaran, wah selera bukan?

Sama seperti itulah manusia, andai tidak mahu bercampur gaul, hidup menyendiri tidak melazimi kegiatan kegiatan seperti usrah, hidup bersama kumpulan kumpulan yang saling mengingati, walau sebaik mana pun dia, walau sealim, sewarak mana pun, tiada erti dan tidak memberi faedah langsung kepada masyarakat, ada pun tidak bertambah, tidak wujud pun tidak berkurang.

Berubahlah kepada kebaikan. Biarlah perlahan lahan pun.

Kalau mampu merangkak, merangkak lah.

Andai sudah mampu berjalan, susurilah ia perlahan perlahan.

Kalau merasa lambat sedikit, berlari lari anaklah sedikit.

Andai merasa sudah ketinggalan di belakang, laju lajulah sedikit.

Yang penting tidak tersadung dan rebah.

Berubahlah, walau bagaimana cara sekalipun, kerana orbit Islam itu sungguh maha terbentang luas untuk umatnya, yang penting kita sampai ke destinasi.Jangan terlalu lambat, kerana bimbang ketinggalan, jangan terlalu laju, bimbang tersadung di pertengahan jalan.

Saya pun bukanlah baik sangat.

Banyak hodoh dari cantiknya, banyak buruk dari baiknya, banyak jahat dari solehnya.

Baiknya Allah kepada saya, bila dia mengurniakan kepada saya, sebaik baik kurniaan kepada saya teman teman dan rakan seperjuangan yang sentiasa megingati saya.Punya teman yang lelakinya selalu melazimi majlis majlis talaqqi, pengajian kitab, cinta kepada usrah, yang perempuannya pula sopan bertudung labuh dan mereka mereka ini merupakan kurniaan Allah kepada saya, buat menjadi pengingat kepada saya yang sering terjerumus kepada keburukan.Sekurang kurangnya bila saya teringin melakukan perkara buruk, mengingati mereka membuatkan saya berasa segan untuk melakukan yang bukan bukan.Sekira kira buruknya saya ini ditutup oleh kebaikan kebaikan akhlak mereka, Alhamdulillah.

Saya pun bukanlah baik sangat.Mungkin sekarang ini hanya sedikit lebih baik dari zaman saya bersekolah dahulu, tetapi tidaklah baik sangat, banyak buruknya.Tetapi moga moga Allah sentiasa memilih saya, anda dan kita semua dalam perjalanan yang masib berliku ini untuk sentiasa berubah menjadi yang terbaik serta mampu memperbaik orang lain pula.

Kalau kita tidak mampu mengubah, jadilah orang yang membawa orang lain kepada perubahan, kalau kita tidak mampu juga, jadilah kita penunjuk jalan kepada lowong lowong hidayah dan kebaikan, kalau kita tidak mampu juga, jadilah kita sebagai orang yang mendoakan kepada hidayah, andai tidak mampu juga, jadilah penonton kepada perubahan dan kebaikan.Itulah usaha kita, selagi mana kita tidak menjadi orang yang menghalang kepada hidayan dan kebaikan itu.

Berubah kepada kebaikan merupakan fitrah, keperluan kita semua.Bukan suatu pilihan.

Manakala berubah dari yang baik kepada yang buruk adalah suatu pilihan.

Maka, timbanglah ia pada neraca iman dan taqwa!

“Ya Allah janganlah engkau palingkan hati hati kami setelah Engkau berikan hidayah kepada kami, sesungguhnya Engkaulah jua sebaik baik pemberi” (Ali Imran 8)

Advertisements

4 responses to ““Saya Pun Bukanlah Baik Sangat..”

  1. heh seronok pulak baca entry ni ^^ teringat dekat sekolah dulu memang selalu kena marah dgn cikgu..nama tak payah cerita la,berterabur dlm record disiplin.banyak masalah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s