Kerinduan yang Sebegini

Hari ini entah mengapa rasa ini hadir lagi.Menyerbu jiwa dan rasa.

Puas diseka, puas ditahan, mengalir juga air mata ini.Hati saya sebak.

Sebak dipagut kerinduan.

Di hadapan saya, ada seorang ayah dan anaknya yang berusia lebih kurang 5 tahun baru selesai menunaikan solat Jumaat.Mereka berduaan bingkas bangun, usai menunaikan solat Jumaat.Si Ayah memimpin tangan si anak dengan erat sambil berbisik bisik sesuatu.

Mungkin si ayah masih lagi mengajar si anak ‘mengenal’ masjid.

Dalam keriuhan orang ramai, di kiri kanan saya ada lagi jemaah yang masih belum selesai berwirid, bersolat sunat, air mata saya tumpah juga mengalir.

Melihatkan gelagat ayah dan anak tadi, tiada apa yang saya ingatkan, melainkan saya teringat dan rindukan kembali saat saat sewaktu saya kecil, arwah abah membawa saya pergi menunaikan solat Jumaat.

Dan tulisan ini tiada lain, merupakan persembahan kerinduan dan kenang kenangan saya bersama abah saya yang tersayang, yang telah pulang menghadapnya lebih 12 tahun yang lalu.

Kerinduan itu datang juga menjengah jiwa, mengusik sumur hati yang telah lama merasai kehilangan ayahanda 12 tahun yang lalu.

Saya masih ingat lagi, abahlah yang mengenalkan saya kepada masjid, terutamanya solat Jumaat.Kiranya dalam kampung saya, saya rasa abah sayalah yang paling awal pergi solat jumaat, selalunya jam 12.30 tengah hari abah saya sudah siap dan kami pergi ke masjid bersama sama.

Kemeja lengan panjang dan kain pelekat biru itulah yang sentiasa menjadi pilihannya setiap kali kami bersolat jumaat.

Tidak melampaulah kalau saya katakan kami selalu sampai awal di masjid ketika solat jumaat, kerana jemaah pada masa itu boleh dikira dengan jari.

Dan abah biasanya beriktikaf sambil duduk berteleku menunggu azan masuk, selalunya saya akan duduk di tepi dinding atau tiang, maklum sahajalah masih kanak kanak.Saya pula jenis yang tidak duduk diam, ada saja yang mahu ditanya pada abah, dan tiap kali itulah juga abah meletakkan isyarat menyuruh saya diam.Berkali jugalah dia memberitahu saya apabila sampai di masjid, tidak boleh bercakap, bergerak langsung.

“ Nak bernafas pun tak boleh!” abah saya bergurau.

Usai solat Jumaat, waktu yang paling saya tunggu tunggu.

Abah mesti mengajak saya makan cendol pulut tapai, di Jalan Yaakubiah, Lundang, di situ ada gerai tepi jalan yang menjual Ais Campur, Cendol.Namun gerai itu sekarang sudah tiada lagi.

Ah.seronoknya, menikmati cendol di gerai tepi jalan, sambil menghirup angin petang melihat kereta lalu lalang.

Itu kalau kami ke gerai cendol atau nasi air.

Kadang kala juga abah membawa saya ke tempat kegemarannya, selepas solat Jumaat, sebuah kedai menjual haiwan, berhampiran dengan cabang empat Jalan Bayam, di situ abah saya cukup suka melihat gelagat burung burung disitu.

Abah saya cukup minat dengan burung, saya juga tumpang seronok juga, sekali sekala, sudah berapa kali saya minta abah saya belikan arnab pada saya, pada waktu itu.

Minat sungguh abah pada burung, kalau di rumah ada sarang sarang murai yang tersangkut, abah akan mengambil mereka, dan tiap pagi dan petang abah akan menyuap anak anak burung yang ada didalamnya dengan dedak.

Lama lama saya pun terikut sama, dedak dicampur dengan sedikit air, ditumbuk tumbuk sedikit, lalu disuap pada anak anak burung itu, sehinggalah anak anak burung itu besar, abah akan lepaskan mereka.

Ah!rindunya.

Abah saya ini seorang yang lawak jugalah, tapi banyak juga tegasnya.

Sekira kira saya, peratus tegas dan garangnya banyak sedikit daripada sifat lucunya ini.

Patut jugalah dia menjadi guru disiplin di sekolahnya, memandang mata abah saya juga sudah membuat lutut saya terketar ketar.

Saya masih ingat lagi, saya dan abang abang saya suka sangat bergaduh.Terutamanya dengan abang ngah saya.Sekali sekala dengan kakak saya ada jugalah, tetapi dengan abang ngah sayalah paling banyak sekali.

Abang sulung saya, pada masa ini sudah pun masuk bersekolah asrama penuh, di Kolej Islam Klang, kiranya tinggal saya tiga beradik inilah dirumah.

Saya tahu, abang dan kakak saya mereka cemburu kerana saya anak bongsu, tidak pernah dirotan oleh abah, seperti mana abang dan kakak saya yang lain.

Pernah abang ngah saya mempersoalkan kenapa saya selalu tidak dimarah, dirotan seperti abang abang saya apabila melakukan kesalahan.

Tatkala kami empat beradik bergaduh, abah akan memanggil kami, semuanya akan dipanggil duduk mengadap abah dan ibu saya.Selalunya abah dan ma saya akan berada diatas kerusi, dan kami akan duduk di bawah mengadap mereka berdua, pada masa itulah abah akan menyoal kami berempat seorang demi seorang, tidak akan terlepas!

Selalunya selepas sesi muhasabah dan ‘ceramah panjang’ daripada abah itu, kami akan menangis, entah kenapa, saya yang masih kecil pada masa itu pun yang tidak tahu apa apa pun turut sama menangis.Begitulah abah saya mendidik kami berempat.

20050820 Back to KB Alone (2)

Abah saya cukup mengambil berat pendidikan anak anak.

Sebab itu tidak keterlaluanlah kalau saya katakan, abang dan kakak saya pada hari ini semuanya menjadi orang orang Berjaya dan orang orang besar di tempat kerja masing masing kerana ketegasan dan abah saya mengambil berat pendidikan anak anak.

Mungkin dalam 4 adik beradik saya ini, sayalah yang paling kurang Berjaya. Berbanding abang abang dan kakak saya, tetapi kalau arwah abah saya masih hidup, sudah tentu dia akan paling gembira kalau mengetahui abang dan kakak saya sudah menjadi orang orang hebat pada hari ini.

Saya masih ingat lagi, sewaktu saya darjah 2, dalam peperiksaan akhir tahun, saya diturunkan kelas, akibat keputusan buruk peperiksaan saya pada waktu itu.

Terketar ketar saya mahu menunjukkan kad laporan peperiksaan kepada abah saya.

Teruk juga saya dimarah abah pada masa itu.Bermula saat itu jugalah, boleh dikatakan sekali seminggu abah saya mesti datang ke sekolah saya, oleh kerana saya bersekolah pada waktu petang ketika itu, dan abah mengajar pada waktu pagi, seminggu sekali atau dua kali seminggu, abah saya mesti datang, dia mengintai dari celah tingkap melihat gelagat saya apa yang saya lakukan di dalam kelas.

Kadang kadang dia datang bertemu sendiri dengan guru saya bertanya jika saya mempunyai apa apa masalah.

Selalunya abah saya akan datang selepas asar, menjenguk jenguk saya, saya perasan akan kehadirannya, cuma saya berlagak lagak tidak nampak sahajalah, dan selepas itu dia akan menunggu saya pulang dikantin dan kami pulang bersama sama.

Teringat saya, sewaktu abang atau kakak saya mahu menghadapi peperiksaan besar seperti SPM, abah dan ibu saya lah yang akan bersusah susah menjenguk mereka sekerap mungkin, memberi semangat.

Semasa abang saya yang sulung masih lagi menuntut di Kolej Islam Klang sekitar tahun 1996, pada tahun itu abang saya bakal menghadapi SPM, saya mengikuti abah dan ibu saya pergi menziarahi abang saya disana, saya masih ingat lagi, pada suatu senja, kami bertiga menaiki bas mini selepas pulang dari berjumpa abang saya disana.

2 tahun selepas itu, abang saya yang kedua pula menghadapi SPM, pada masa itu dia menuntut di MRSM Taiping, seingat saya, dua bulan sekali kami sekeluarga pasti pergi menziarahi abang saya disana, bersusah payah juga abah saya pada masa itu memandu jauh untuk ke Perak, pada masa itu kami sekeluarga pergi dengan kereta Toyota merah lama abah, dengan Toyota itu jugalah membawa kami sekeluarga ke sana kemari, dan kereta itu seingat saya sudah lama aircondnya rosak dan radionya tidak berfungsi.

Betapa abah dan ibu saya cukup cukup mementingkan pelajaran untuk anak anaknya.

Memang kedua dua ibu dan ayah saya bekerja, kedua duanya guru, tetapi kehidupan kami dahulu agak susah, kerana kami empat beradik masih belajar, abah pula selalu sakit sakit.

Ya, abah saya bukanlah seorang yang sihat, pada penghujung hayatnya, tidak sedikit hari hari akhirnya hanya berteman kesakitan.

Dia menderita penyakit buah pinggang yang kronik, buah pinggangnya kedua dua belahnya sudah rosak, ditambah dengan komplikasi penyakit lain seperti asma, jantung dan darah tinggi, yang tinggal hanyalah senyuman dan sifat lucunya yang sekali sekala itu jugalah yang ‘menutup’ sakitnya itu.

Pada akhir akhir hayatnya, ketumbuhan disebelah kiri perutnya semakin besar, saya selalu mendengar perbualan antara abah dan ibu saya, mereka berkira kira mahu melakukan pembedahan, bimbang kerana ia semakin membesar, jika pecah, boleh menyebabkan abah saya maut serta merta.

Saya tidak pasti apakah puncanya, namun berkemungkinan daripada komplikasi masalah buah pinggangnya itu.

Abah saya bukanlah sihat seperti ayah orang lain.

Tiga kali seminggu, 6 jam sehari, dia terpaksa pergi ke hospital untuk melakukan dialisis.

Lihat sahaja dilengannya, penuh sahaja parut parut jarum, yang setiap hari disuntik untuk mengalirkan darah.

Setiap petang dia pulang, keletihan, setelah 6 jam, duduk diatas kerusi tanpa boleh bergerak, sakit disuntik jarum hampir saban hari.Allah, tabahnya abah, jarang sekali dia mengeluh.Namun anak matanya, yang dahulu kehitaman, lama kelamaan, pudar, pucat warnanya, ya pudar, kerana abah saya telah ‘tua’, tua sebelum masanya dengan menanggung kesakitan setiap hari.

Jarang sekali dia mengeluh.

Bahkan saya dan ibu saya yang melihatnya pula terlebih dahulu mengeluh, mengeluh kerana kasihan.

Tiada apa yang saya ucapkan setiap hari, walaupun saya tahu ia amatlah mustahil, namun dihati saya sentiasa tertanya tanya, bilakah abah saya akan sihat sepenuhnya seperti ayah orang lain, dapat pergi jalan jalan, makan angin, berseronok seronok.

Oleh kerana masa itu abang dan kakak saya, semuanya belajar diluar dan tinggal diasrama, maka tinggalah saya, ibu dan abah saya sahaja dirumah.

Setiap hari, setiap kali pulang ke sekolah pada waktu petang, tiada soalan lain yang saya akan tanyakan ibu saya.

“ Abah sakit lagi tak hari ini ma..?”

Dan seperti biasa, ibu saya hanya berdiam diri, mengangguk pun tidak, menjawab pun tidak.

Jawapan begitulah.

Sudah biasa ada kalanya saya dan ibu saya bermalam berdua di hospital menunggu abah, kadang kadang abah rebah semasa di mengajar di sekolah, bagi kanak kanak berusia 9 tahun, sebolehnya saya cuba telan dan hadapi realiti kehidupan saya yang kadangkala tidak sempat pada fikiran saya untuk memikirnya.

Memanglah sepanjang hidup abah, tiadalah setiap masa dia terlantar sakit.

Ada masanya Allah memberinya kuat, tetapi tidak juga sihat.Tetapi mampu juga hidup normal, mengajar, pergi kesana kemari dan sebagainya.

Cuma beberapa bulan akhir hayatnya, semua itu berkurangan,

Asma abah semakin teruk.Menggunakan inhaler sahaja tidak cukup untuk meredakan asmanya.

Terpaksa dibeli mesin khas untuk diletakkan dirumah, kerana tidak sanggup untuk berulang alik ke hospital.Saya ingat mesin tersebut dibeli 3 bulan sebelum abah meninggal dunia.

Hendak bercakap juga sudah mula cepat menjadi mengah.

Mudah letih dan abah lebih banyak berehat dan kurang aktif berbanding dahulu.

Itulah yang saya perhatikan.

Payah juga abah mahu mengeluh menderita sakitnya, namun mungkin keluhannya saya hanya akan dengar jam 3 pagi setiap pagi, ya mendayu dayu bacaan AlQuran abah dari biliknya.Mungkin dilepaskan keluhan pada rasa sakitnya itu dengar membaca AlQuran.

Saya selalu tersedar saat dinihari, jam 3 atau 4 pagi, saya mendengar abah membaca AlQuran.

Sayu sahaja bunyinya.

Jarang sekali abah meninggalkan tahajjudnya, saya perasan abah selalu mengikat perutnya dengan kain, setiap kali dia mengerjakan solat malam.

Saya tanya ibu saya, mengapakah abah selalu mengikat perutnya dengan kain.

Ibu saya memberitahu kerana abah ingin menahan sakit diperutnya itu, lalu diikat dengan kain, buat menahan sakit, tidak mahu solatnya terganggu.Ada kalanya dia solat berdiri, tidak mampu berdiri, dia hanya duduk, tapi jarang sekali dia meninggalkan malamnya kecuali jikalau terlalu uzur.

Hinggalah disuatu dinihari, penghujung oktober 2000, saya dikejutkan oleh abang abang saya yang kebetulan bercuti semester pada waktu itu.Seingat saya, jam 4.50 pagi waktu itu.

Abah saya mengadu tidak boleh bernafas, wajahnya pucat kebiruan.

Asmanya datang lagi.Lebih teruk daripada biasa.Abah saya mundar mandir, tidak berhenti henti memanggil ibu saya yang duduk di sebelahnya.

Bayangkan tidak dapat bernafas, puas kami mengurut dadanya tidak jadi juga.

Mesin dibeli juga disedut sedut, gagal memberi kelegaan.Asma abah semakin teruk.Dia berjalan ke sana ke mari, puas duduk dia berdiri, kami mengikuti sahaja kemana dia pergi.

Abah kelelahan, wajahnya pucat, dia memanggil manggil nama ibu saya.Ibu saya cuba menenangkannya, sambil abang ngah saya sedang sibuk menghubungi ambulan.

Tidak dapat juga dihubungi ambulan.Keadaan abah semakin teruk.

Abah turun dari rumah, mencuba menghirup udara diluar rumah pula, matanya bulat, dadanya berombak ombak kencang cuba menghirup udara.

Lalu ditangga rumah abah terduduk juga, dipangkuan ibu saya, abang sulung dan abang ngah saya merangkul abah, dan saya pada masa itu mengurut dada abah, sambil menyebut kepada abah,

“ Ingat Allah abah..Ingat Allah abah..”

Dan mulut abah tidak henti henti menyebut

“ Allah..Allah..Allah…” dan dia memandang satu persatu wajah kami, dia memandang wajah ibu saya, selepas itu dia menyentuh lengan saya dan memandang ke dalam mata saya dengan pandangan mendalam, tangannya cukup sejuk, dia menyentuh abang abang saya pula, dalam kelelahan, dadanya yang semakin berombak kencang, abah saya memandang ke atas dan sekali itu dia menarik nafas yang cukup panjang, akhirnya matanya terkatup juga.

Keadaan sunyi sebentar.Abah diam.Dada abah sudah tidak berombak lagi.

Ibu saya juga diam membisu.

Tahulah saya pada masa itu, abah saya telah meninggalkan kami buat selama lamanya.

Sayup sayup kedengaran azan subuh bersama pulangnya abah ke pangkuan penciptanya yang selama ini dirinduinya.

Selamat berehat abah, daripada kesakitan dunia.

Selamat berehat abah, adik tak boleh lagi nak urut abah setiap malam seperti selalu.

Selamat berehat abah, selepas ini siapa mahu gunting rambut adik lagi nanti, sambil petang petang kita duduk di bawah pohon duku, di tepi telaga, menunggu ma pulang dari sekolah.

Selamat berehat abah, selepas ini adik kena pergi sembahyang jumaat seorang diri, adik kecil lagi, adik tak tahu macam mana nanti abah sudah tidak teman adik lagi,

Selamat berehat abah, selepas ini adik duduk berdua sahaja dirumah, menemani ma, mesti adik dan ma sunyi, abah tiada lagi.Adik tak tahu adik mampu jaga ma atau tidak selepas ini.

20050820 Back to KB Alone (12)

Sekujur jasad terbaring kaku, tiada lagi kata kata menghibur jiwa, abah hanya tersenyum sahaja, sungguh, disebalik orang dikiri kanannya menangis, abah saya tersenyum sahaja, seakan akan dia masih hidup lagi, saya tahu abah gembira menghadap penciptanya.

Sakitnya juga mungkin sudah surut dan hilang.

Hujan renyai renyai pagi itu, membasahi bumi, saat itu jugalah kakak saya yang masih sekolah berasrama penuh, dia yang masih tingkatan 4 tiba di perkarangan rumah kami.

Apakah yang ada dalam fikirannya tatkala dia melihat orang ramai memenuhi rumah kami, sampai diruang tamu rumah kami, orang membaca yasin disegenap ceruk, dan tiba sahaja di bilik abah, hanyalah jenazah abah yang terkujur kaku, longlai kakak saya, hampir pitam melihat abah telah tiada lagi.

Puas dipujuk, kakak saya bungkam, menangis teresak esak, saya tidak sanggup melihatnya, entah pada pagi itu, saya menjadi tidak keruan, saya mundar mandir ditepi rumah, fikiran saya tidak menentu, terkadang termenung, terkadang saya pergi melihat abah, yang menunggu masa untuk dikebumikan.

Saya kabur.Masih mencari sisa kekuatan untuk menelan hakikat saya yang telah bergelar yatim tanggal 2 Oktober 2000, saat berusia 10 tahun.

Usai pengebumian abah saat asar menjelang, kami 4 beradik duduk di birai kubur, hujan turun membasahi kami berempat, sementara sanak saudara telah pulang.

Dalam kuyup kebasahan, abang sulung saya memeluk kami berempat, teresak esak kami menangis, tiada lain, hati kami merintih rintih mengapa secepat ini abah pergi meninggalkan kami….

Allahummaghfirlahu war hamhu waafihi wa’fuanhu…

Begitulah, tidak banyak kenangan saya bersama abah, hanya kenangan 10 tahun itulah yang sentiasa saya ulang ulang dan ingati, moga saya tidak lupa menceritakan kepada anak anak saya nanti, akan Tok Abah mereka yang telah menjadikan hidup saya penuh bermakna.

Saya, anda dan kita semua, bakal menjadi ibu dan ayah.Bakal juga suatu hari nanti meninggalkan dunia ini.

Abah saya telah meninggalkan kepada saya dan adik beradik saya kenangan berupa didikan serta kenang kenangan manis yang bisa menitiskan air mata tatkala kami mengingatnya.

Pada yang berkemampuan, mungkin mereka mewariskan, meninggalkan harta dan wang ringgit, buat yang masih hidup.

Boleh jadi juga begitu.

Namun, harta, benda semua itu bakal luput ditelan masa, dan juga boleh ditukar dan dijual beli saat bergantinya masa dan keadaan.

Tetapi, yang meninggalkan kenangan kenangan manis serta kebaikan kebaikan itu, ia sama sekali tidak boleh dijual beli atau diganti ganti, bahkan semakin lama ia dikenang semakin bertambah kuat ingatan dan ikatannya.Ianya lebih kekal lama dan akan luput bersama luputnya kita.

Justeru, kita yang bakal meninggalkan dunia ini, tinggalkanlah sebanyak mungkin kenangan berupa kebaikan kebaikan, kepada orang disekeliling kita.

Kalau tidak mampu meninggalkan kebaikan yang banyak, jangan pula memperbanyak keburukan yang bisa menjadi pahit dan kebencian orang kepada kita selepas kita tiada.

Biarlah sedikit kebaikan itu, tetapi keburukan kita payah sekali mahu diungkit orang selepas kita tiada.

Kebaikan yang sedikit sedikit itu jualah yang dikenang oleh sekalian orang banyak, boleh menjadi penyebab turunnya rahmat dan keampunan Allah saat kita telah tiada nanti di dunia ini.

Mudah mudahan dengan kenangan yang telah kita tinggalkan ia menjadi asbab bagi orang lain untuk ‘menjemput’ doa mereka, doa berupa keampunan kepada kita saat kita telah tiada kelak.

Boleh jadi ia menjadi jariah yang cukup besar di mata penduduk langit, walaupun kecil nilaianya pada pandangan mata kita.

Abah saya telah membuktikannya.

Dia tidak meninggalkan kepada kami sekeluarga harta yang bertimbun, apatah lagi kekayaan yang melimpah limpah, yang dia tinggalkan kepada kami hanyalah didikan didikannya yang telah kami bawa kemana sahaja kami pergi, serta kenang kenangan indah hidup bersamanya, yang tatkala bila kami mengingat kembali setiap detik bersama abah, kami tidak putus putus mendoakan keampunan dan rahmat Allah kepada Abah.

Suatu hari nanti, di akhirat kelak, saya teringin moga moga Allah menghimpunkan Abah, Ma, Abang Yie, Abang Ngah, Kak Naa dan saya, kami berenam bertemu di sana, bersama sama menaiki kereta Toyota merah lama abah itu, dan kami akan menaikinya pergi kemana sahaja, dengan gembira sekali, sepertimana sewaktu saya masih kecil dahulu.Moga Allah menghimpunkan kami sekeluarga dijannah Nya kelak.Insya Allah.

 

 Bila waktu menemani,

Biar kenangan tersimpan di hati,

Cubalah untuk mengerti,

Hargailah orang yang masih ada,

Usah berduka bila sudah tiada.

 

abah 4

Alfatihah.

Mohd. Zani Bin Hussin

(14 September 1954 – 2 Oktober 2000)

Advertisements

3 responses to “Kerinduan yang Sebegini

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s