Silibus Orang Bertunang

Sungai Kelantan di hadapan kami itu saya tatap sahaja.

Tenang sahaja ia mengalir, sesekali dentuman mercun, dan percikannya naik ke udara di seberang sebelah pasir pekan itu ada kalanya membingitkan telinga, namun tidaklah kami hiraukan.

Kereta yang bersesak sesak, sepanjang Jambatan sultan yahya itu tidak juga kami berdua hiraukan.

JambatanSultanYahya1-1

Kerana pada malam itu, ada perkara yang lebih dan sungguh penting untuk saya dan sahabat baik saya, Syahrir, perhitung dan perkira perkirakan!

Sungguh, saya masih lagi tidak percaya, perkhabaran yang saya terima daripada sahabat baik saya semenjak daripada darjah 1 ini.Saya merenung, terdiam dan dia juga berskap sebegitu.

Masing masing tidak mahu memulakan bicara.

Mengingat kembali, beberapa hari lepas menjelang Aidilfitri, rakan saya ini beria mengajak saya untuk keluar, rupa rupanya berita ‘gempar’ yang akan saya terima daripadanya, berupa kad wangi jemputan ke majlis perkahwinannya nanti!

Saat saya menerima kad undangannya itu, pada mulanya saya tidak percaya, langsung tidak.Agak saya, dia hanya sekadar mahu melawak dan bergurau sahaja, namun setelah saya perhati hatikan nama, kad dan alamat pada kadnya tidak ada yang silap, nama pengantin pun betul, alamat rumahnya juga betul.

Namun, saya masih tidak dapat menerima hakikat.

“ Rajin betul kau buat pakai photoshop, edit nama, alamat semata mata nak kenakan aku..” tukas saya cuba menyedapkan hati, dengan nada separuh gurau.

Dia tersenyum sahaja.

“ Serius, ini jemputan ke majlis perkahwinan aku..” Syahrir bersahaja, tapi nadanya serius memberitahu saya.

Saya masih tidak lagi percaya, sehinggalah dia mengajak saya supaya menemaninya hari itu, meronda mengedarkan kad pergi ke rumah guru guru dan rakan rakan kami semasa di sekolah rendah dan semasa di Maahad dahulu, tatkala itulah baru saya percaya bahawa sahabat baik saya semenjak kecil lagi ini bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.

Terlalu payah saya mahu mempercayainya, kerana dalam kalangan rakan rakan kami, Syahrir inilah paling pendiam dan pemalu sekali.Yang dia tidak menjadi penyegan dan pemalu, bila dia bersama dengan saya dan kumpulan rakan kami yang lain.Dan salah satu antara kelemahan terbesar kawan saya, dia amat pemalu dan penyegan dengan perempuan!

Sehingga saya dan rakan rakan pernah mengejeknya suatu masa dahulu, dialah orang dalam ‘klik’ kami yang paling akhir berkahwin, sekira kira kami sudah anak sepuluh dia baru mahu terhegeh hegeh mahu mengedarkan kad kahwinnya! Usik kami dahulu, semasa di sekolah dahulu.

Memang saya dan Syahrir cukup rapat, semenjak daripada darjah 1 sehinggalah tingkatan 5 boleh dikatakan kami duduk sekelas.Kadang kadang saya di kelas pertama, dia di kelas kedua, begitulah sebaliknya, Cuma semasa di tingkatan 5, saya berada di kelas pertama dan dia di kelas kedua.

Namun pada waktu rehat, kami akan rehat bersama sama, dan setiap hari dia akan membawa bekal gulai udang kegemaran masakan ibunya, usai makan di kantin kami berdua menunaikan solat dhuha bersama di masjid sekolah ketika waktu rehat, begitulah rutin kami setiap hari sehinggalah kami berpisah mengikut haluan masing masing, dia ke universiti, saya pula menyambung di Darul Quran.

Dalam tempoh lebih 10 tahun perkenalan itulah, boleh dikatakan dia mengetahui rahsia saya, dan saya juga menyimpan banyak rahsianya, dan apabila dia menjemput saya ke majlis walimahnya, saya amat sukar mahu menerimanya!

Hampir 15 minit kami berdua berdiam diri, hanyut dibuai perasaan masing masing, saya cuba memecah sunyi,

“ bagaimana kau berkenalan dengan bakal isteri kau itu?”

Syahrir yang sejak dari tadi lagi asyik memerhatikan riak air sedikit terkejut dengan soalan saya itu.

“Erm..panjang ceritanya..tapi apa yang boleh aku katakan, jalannya cukup mencabar bagaimana aku mahu mendapatkan dia dan seterusnya melamarnya.Aku langsung tidak mengenali dia dan kali pertama aku melihatnya, aku sudah katakan dalam hati aku yang aku mahu menjadikan dia sebagai isteri aku”

Bicara Syahrir, perlahan menerangkan kepada saya.

“ Kiranya ini cinta pandang pertamalah!” saya menambah

“Ya..” dia mengangguk senyum

Dia juga menceritakan kepada saya, bagaimana perit dugaan dugaan yang dia hadapi untuk mendapatkan bakal isterinya itu dan setelah lamarannya sudah hampir tiga kali ditolak, lamaran ketiganya itu telah diterima oleh bakal isterinya.

Tidak sangka saya, setegar dan sebegitu nekad dia mahu memperisterikan gadis tersebut.Saya tahu, gadis itu mesti hebat orangnya.

Bagaimana cerita dia menghadapi 3 kali ‘direject’ itu, biarlah saya dan Syahrir sahaja menyimpan rahsia tersebut.

“ Habis, bagaimana sekarang, maksud aku dalam tempoh kau masih bertunang dengannya, semuanya berjalan lancarkah? Dia tiada mesejkah, telefonkah, maklumlah kau kan berkahwin dengan orang yang kau tidak kenal..sudah tentu banyak perkara mahu ditanya dan dibualkan” saya bertanya dengan penuh minat, sedikit sebanyak mula timbul rasa kagum pada sahabat saya ini.

“ Tidak..kami tidak berhubung seperti biasa, kau tahu sahajalah tempoh pertunangan sebegini, memang banyak dugaan dan cabarannya, kadang kadang cubaanya benar benar menguji iman, hati dan perasaan..” Syahrir menjawab soalan saya tadi.

Saya cuba menebak apa yang mahu disampaikan, namun tidak berani pula saya mahu terus menerka nerka begitu

“ Aku masih tak faham..maksud kau cubaan dugaan macam mana tu?” saya bertanya kembali.

“ Sebenarnya tempoh bertunang sebeginilah tempoh yang paling menguji pasangan yang ingin berkahwin, apatah lagi kita yang berusaha bersungguh sungguh mahu menjaga batas batas perhubungan dengan bakal pasangan kita ini, bertambah kuat dugaannya.Ujian perasaan lagi, ujian yang tampak di mata lagi, pendek kata, kalau kita tidak kuat, boleh ‘tumbang’ sebelum masa jadinya..”muslim-couple-seated-outside

Belum sempat Syahrir menyambung ayatnya tadi, saya memotong

“ Ya, benar..orang kata waktu bertunang beginilah paling banyak dan kuat dugaanya, maklumlah darah manis lah katakan..habis engkau dan tunang engkau bagaimana, orang orang hebat seperti kau mesti tidak hairan dengan dugaan dugaan begini” saya mengusik dia di hujung soalan

Dia tersenyum sahaja mendengar usikan saya yang tidak berapa menjadi itu.

“ Jadi antara perkara pertama yang aku dan tunang aku lakukan, tatkala kami selesai proses taaruf dan kedua pihak mencapai persetujuan, aku pun pada mulanya agak kelu jugalah, macam mana mahu berhubung dengan orang yang langsung aku tidak kenal, berdebar jugalah, macam macam perkara terlintas di kepala aku, namun Alhamdulillah semuanya berlangsung dengan baik, dan diantara perkara pertama aku dan pasangan aku lakukan ialah, kami telah menetapkan beberapa undang undang dan warta untuk menjaga perhubungan dan batas semasa kami berdua dalam tempoh pertunangan begini..”

“ Hah? Warta? Undang undang? Apa benda pula tu, dah macam peraturan JPJ sahaja aku dengar” Tambah saya separuh tergelak.Pada masa sama saya cuba memahamkan diri saya, apakah warta, undang undang yang kawan saya dan tunangnya itu tetapkan.

“ Eh engkau ni, ke situ pula, begini kami tetapkan warta sebagai contoh, aku dan dia tidak boleh suka suka untuk berhubungan, berSMS kecuali untuk berbincang hal hal perkahwinan sahaja, begitu juga kalau untuk bercakap melalui telefon atau berchatting di internet juga punya kadar kadar masa tertentu, dan berbincang mengenai hal hal yang menjurus kepada perkahwinan kami, itu sahajalah..selepas itu yang kami tetapkan tidak boleh sengaja berjumpa, tidak sengaja berjumpa atau terserempak juga tidak boleh, pernah suatu ketika aku datang ke rumahnya untuk berjumpa dengan kedua ibu bapanya, aku melarangnya dari pergi ke ruang tamu tempat aku dan ayahnya berjumpa, aku bimbang takut di denda pula nanti! “

Saya semakin bingung, tadi bercakap pasal warta, undang undang, selepas ini tentang denda pula.

Saya menggaru garu kepala yang tidak gatal sambil merenung kepadanya.

Dia tergelak, “ oh aku tidak beritahu kau tadi, ya, barangsiapa diantara kami yang melanggar peraturan peraturan tadi, kami akan didenda menghabiskan bacaan Quran 7 juzuk untuk hari itu!” jawab Syahrir bersemangat

“ Wah..macam tak percaya aku mendengarnya, habis bagaimana, sepanjang tempoh tersebut, adakah ada salah seorang daripada kamu berdua melanggarnya dan berapa kali sudah khatam Quran?” Tanya saya serius bercampur gurauan.

Syahrir tergelak mendengar soalan saya itu.

“ Alhamdulillah, sepanjang tempoh pertunangan kami, masing masing cuba menjaga batasan diri, dan beginilah cara kami mengenali antara satu sama lain, syukur, sepanjang tempoh kami bertunang hingga ke saat ini, tidak ada lagi yang melanggar batasan undang undang yang telah kami putuskan bersama, lagi pun bukan apa, aku rasa tak larat nak habiskan denda 7 juzuk sehari tu”

Terdetik rasa kagum saya pada sahabat saya ini, mujahadahnya bukan sahaja untuk dirinya sendiri bahkan turut sama mengajak pasangannya untuk bermujahadah sedaya mungkin.

“ Betul tu, aku setuju, sewaktu aku belajar di Darul Quran dahulu, ada seorang abang juga yang telah bertunang, dia hanya berhubung dengan bakal isterinya itu, sebulan sekali sahaja, itupun melalui SMS yang dihantar hanya untuk mengetahui pasangannya itu masih hidup atau mati sahaja! Saya semangat menambah.

Syahrir mengangguk setuju.

“ Ya betul, tapi dugaannya juga bermacam macam, tambahan lagi, kalau tidak kuat bahagian luar dan dalam, ‘tumbang’ juga kita jadinya, iyalah, hati tidak dapat tidak, mesti teringat juga, fikiran pun kadang kadang menerawang ke situ juga, sebab itulah aku nasihatkan kau yang masih ‘single’ lagi ni, kalau mahu bertunang, jangan lama lama, ‘letih’ nanti! Kami dahulu pun hasratnya mahu bertunang dahulu, dan fokus pada pelajaran, tetapi kebetulan keluarga sebelah perempuan mahu dipercepatkan sahaja, kami hanya kenal pada bulan mac dan September terus sahaja berkahwin..”

“ Wah cepatnya, habis macam mana kau lawan perasaan tu, iya lah kadang kadang teringat, kadang kadang terfikir fikir sangat, tidak elok juga aku rasa kalau kita asyik melayan perasaan bukan bukan macam tu? “ saya bertanya.

“ Alhamdulillah, kadang kadang aku fikirkan, ada hikmahnya juga Allah percepatkan, majlis kami ni, syukur, dalam masa yang tinggal beberapa bulan tu, aku sibukkan dengan mengumpul duit bagi hantaran dan majlis perkahwinan kami, syukur keluarga dia juga memahami situasi aku, masih lagi belajar, tidak pula meletakkan harga hantaran yang tinggi, asalkan yang wajib dan halal disempurnakan dahulu.Dengan kesibukan begitulah membantu aku tidak berfikir dan teringatkan yang bukan bukan, bahkan kita terasa makin bersemangat apabila kita punya matlamat jelas, iyalah nak memburu ‘bidadari’ untuk kita di syurgalah katakan!” Semangat Syahrir memberitahu kepada saya, sambil menepuk bahu.

“ Aku dengki dengan kau Syahrir, mungkin aku tak sekuat kau, tak setabah kau, tapi apa pun, aku ucapkan tahniah sekali lagi, selepas ni, mungkin payah kita nak jumpa macam ni lagi..” sayu pula rasanya saya, mahu ‘melepaskan’ sahabat saya ini, saya mengenggam erat tangannya.

“ Eh kesitu pula, insya Allah, isteri, sahabat baik macam kau, semuanya punya tempat istimewa di hati aku, kau pun cepat cepatkanlah! Mari aku tolong carikan calon!” Usik syahrir, sambil tergelak gelak.

Saya turut sama tergelak.

“ Cuma apa yang aku pelajari sepanjang bulan bulan terakhir sebelum aku berkahwin ni, apa yang aku mahu beritahu kau, Insya Allah kalau niat kau lurus, hati kau tetap dan usaha kau bersungguh sungguh, tiada apa yang dapat menghalang dari rezeki Allah itu datang, tambahan lagi kalau niat kita mahu membina masjid, aku dahulu pun sewaktu ditetapkan jumlah hantaran dan campur jumlah perbelanjaan perkahwinan, bagi aku jumlahnya cukup besar, tambahan lagi aku masih lagi belajar, mustahil aku mampu cukupkan jumlah sebanyak itu, aku pun tak mahu menyusahkan langsung ibu dan ayah aku, tapi Alhamdulillah, Allah itu maha pemurah, rezeki Nya ada di mana mana, selepas itu datang mencurah curah peluang untuk mencari rezeki, dalam masa 3 bulan tu, aku mampu juga cukupkan wang untuk perkahwinan ni..jangan dirisaukan sangat, rezeki itu ada, tengah tunggu kita, kita sahaja yang tak usaha..” sambung Syahrir saya kira mengakhiri perbualan kami pada malam itu

Alhamdulillah, tahun ini telah hampir memasuki tahun kedua perkahwinan sahabat saya itu, mereka hidup bahagia dikurniakan Allah seorang cahaya mata.

 

‘ Pattern’ Cinta

Saya amat tertarik sekali dengan kisah sahabat saya yang melalui pertunangannya itu dengan penuh jalan mujahadah dan membuka suatu sudut pandang baru dalam etika berhubungan terutamanya ketika proses pertunangan; hari hari mencabar sebelum menghadapi alam perkahwinan.

Tidaklah saya mahu katakan disini bahawa perlunya modul atau silibus khusus yang perlu ditetapkan oleh orang yang sedang bertunang atau sedang berhempas pulas mahu bermujahadah sebelum diijabkabulkan.

Tidak juga saya mahu memberitahu disini, bagaimana peraturan peraturan, umpamanya kalau bercakap di telefon berapa minitkah tempoh masa yang dibenarkan, kalau berjumpa berapa darjahkah mata harus ditundukkan supaya tidak bertentang mata antara satu sama lain, tidak juga perkataan apakah yang boleh dan tidak boleh semasa bertunang yang sesuai diucapkan, tetapi yang saya mahu ceritakan disini adalah kitalah pemandu cinta itu!

Rakan saya itu tadi telah membuktikan, bahawa bercinta, bertunang, yang jarang sekali berhubungan apatah lagi bertemu, namun pada akhirnya menatijahkan mawaddah, rahmah dan sakinah.

Bukanlah saya katakan kita perlu pada warta dan undang undang semasa bertunang, apatah lagi tindakan disiplin dan sebagainya, tapi sebenarnya kita mampu untuk mengawal fitrah dan perasaan itu.

cincin

Justeru setiap orang punya cara tersendiri dalam mengawal fitrah dan memandu perasaan itu.

Soalnya sekarang ketidak mampuan kita untuk berkata mampu itulah yang menyebabkan banyak berlaku lencongan dan terbabas semasa dalam tempoh sebegini.

Akhirnya saat melalui hari hari perkahwinan, tiada lagi kemanisan dan keindahan dan boleh jadi ditarik oleh Allah rasa indah itu kerana banyaknya berlaku keburukan serta kegagalan kita memandu perasaan semasa dalam proses itu, dan harus diingat proses perkahwinan itu panjang tidak sependek semasa bertunang!

Sebenarnya kita mampu untuk mendisiplinkan diri, mengawal fitrah itu.Semuanya terletak pada soal hati dan kemahuan.Memang pada awalnya susah, tanpa mujahadah semuanya gagal, kerana syurga itu sendiri pun dipagari dengan kesusahan dan rantaian mujahadah yang berpanjangan, namun diri ini harus dididik untuk bersusah payah kerana Allah, jarang sekali kita sanggup bersusah payah kerana Allah, ramai sungguh orang pada hari ini, bersabar pada jalan keburukan, tetapi sedikit pula yang sanggup bersabar dalam perkara kebaikan.

Justeru, pada sesiapa yang sedang melalui ‘hari hari genting’ sebegini, di duga dengan rasa cinta, di uji dengan ujian perasaan, andai merasa sudah terbabas, adanya lencongan yang disengajakan atau tidak disengajakan, cepat cepatlah ‘pulas’ stereng kenderaan anda supaya duduk betul dan lurus kembali di atas jalan Nya, usah ditangguh tangguh bimbang terjatuh kedalam gaung pula!

Janganlah pula ditinggalkan ‘kenderaan’ kita itu bersama penumpangnya, andai merasa kenderaan(baca: cinta) itu sudah rosak, punah, cepat-cepatlah membaikinya, jangan ditinggalkan di tepi jalan atau di beli kenderaan yang baru pula, kalau tidak mampu membaiki bersendirian, panggillah ‘formen’ atau orang yang lebih alim, untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar, moga moga kenderaan yang kita naiki itu, kita mampu bergerak lurus kembali di atas jalan yang lurus, yang penting kita tidak sekali kali meninggalkan kenderaan tersebut bersama penumpangnya.

Sudah menjadi resam, kita tidak akan mampu untuk memastikan setiap keadaan atau perkara itu menjadi sentiasa sempurna dan semuanya berjalan lancar, kerana kesilapan akan sentiasa mengintai kesalahan pada jalan yang lurus, tetapi apa yang penting usaha kita untuk menuju sempurna itu salah satunya adalah dengan belajar daripada kesilapan itu sendiri.Bukanlah sempurna namanya andai semuanya ‘sempurna sempurna’ belaka!

Manakala buat yang masih belum mengharungi jalan ini, yang masih belum berkemampuan untuk membeli ‘kenderaan’ seperti di atas, belum lagi diduga dengan rasa sedemikian, usahlah diminta minta pula untuk diuji dengan ujian dan perasaan dan saya kira adalah antara ujian ujian mencabar juga sebelum seseorang itu diberi ‘cop halal’ sebagai seorang dewasa!

Kalau tidak mampu, usah dipinta, kalau merasakan jalan perkahwinan itu masih lagi jauh, usah mengacah ngacah, atau mencuba cuba, kerana ia bukanlah gulai asam pedas yang boleh dirasa rasa, diluah luah andai tidak sedap!

Namun perbanyakkanlah persediaan dan perkuatkanlah diri, kerana ujian perasaan dan cinta itu tidak pernah bertanya kepada kita sama ada kita bersedia atau tidak, ianya boleh datang dengan tiba tiba dan pergi sahaja dengan tiba tiba!

Umpama seorang askar yang harus bersiap siaga sepanjang masa, itulah sikap yang harus kita sematkan sentiasa.

Bukanlah soal cepat atau lambatnya jodoh aku, tetapi ianya lebih kepada soal bersediakah aku untuk menerima dan menghadapinya.

Rakan saya itu tadi telah membuktikan, pada dunia hari ini yang telah ‘asing’ daripada agama, dia melayan cinta dan perasaannya dengan penuh ‘asing’ dan berbeza daripada kebanyakkan orang hari ini, sungguh, pada jalan yang penuh ‘asing’ dan jarang sekali dilalui oleh orang banyak, dia telah membuktikan kepada kita, bahawa kita mampu untuk mengajar dan mendidik perasaan serta fitrah itu, dan Islam tidaklah sebegitu tertutup, sehingga menutup jalan umatnya untuk meraikan fitrah mereka.

Saya juga tidak sempurna, banyak terbabas daripada berjalan pada jalan yang lurus dan tujuan saya disini bukanlah mahu menggalakkan kita untuk bercinta apatah lagi menegahnya.

Mahu mencintai dan dicintai adalah suatu keperluan.Bukanlah suatu pilihan.

Menolak dan menegah cinta, ianya melawan fitrah, jauh daripada sunnah yang dianjurkan baginda Rasul.

Melampau lampau dalam bercinta, mengikut nafsu, ianya tidak meraikan fitrah serta membawa diri menjadi hamba kepada nafsu dan menjauhi sifat sifat sebagai hamba Nya.

Justeru kawallah cinta dan perasaan itu, ianya jauh lebih meraikan fitrah serta melapangkan jiwa dan ia menjemput redhaNya kepada hambaNya.

Kerana pada akhirnya, kitalah pemandu cinta itu!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s