Cerita Rindu buat Bonda

Berat sungguh hati ini, sungguh inilah perasaan yang sungguh saya benci dan tidak suka tatkala cuti semester berakhir.

Saya memandang dalam ke mata ibu saya, terpancar riak kesuraman yang mendalam, saat saya mahu bergerak pulang meninggalkan rumah untuk kembali semula ke UIAM usai cuti semester saya berakhir.

Sebolehnya saya tidak mahu rasa ini mendekap didalam dada, namun dipandang pandang juga wajah bonda, direnung renung juga ke dalam kelopak matanya, berat, sedih dan suatu perasaan galau bermain di wajahnya, saat anak anaknya mula meninggalkan dia dirumah, keseorangan.

Itulah rasa yang saya fikir telah bermain di benak bonda saya lebih 10 tahun yang lalu, semenjak abah saya telah pulang kerahmatullah.

Kesunyian.

Ya, kesunyian, apakah masih ada duka dan sedih lain yang lebih besar bagi seorang isteri yang masih membesarkan anak anak, tidak lain melainkan rasa sunyi tatkala suami tercinta telah pergi meninggalkan dirinya buat selamanya.

Sunyi kerana cinta pertamanya telah pergi.

Sunyi kerana tempat bermanjanya sudah luput dari pandangan,

Sunyi kerana tempat mengadu dan merintih, tidak lagi menemani bersama,

Sunyi kerana tempat berpaut harap, sudah meninggalkan diri.

Sunyi kerana tempat berkongsi cerita, duka semalam, semuanya telah dibawa pergi menjadi kenangan di angin lalu.

Biarpun punya sepuluh orang anak yang sedia menemani, sedia mendengar cerita, sedia mengubat susah, namun manakan sama, jika ‘cinta pertamanya’ masih ada disisi, alangkah indahnya!

ibu

Mungkin itu rasa yang telah dialami ibu saya, lebih 10 tahun yang lalu, rasa yang tidak terungkap oleh pandangan zahir, namun ianya hanya akan tampak saat bersendirian, tatkala kerinduan hanya menjadi penyebab kepada sebuah kesunyian.

Tatkala itu jualah, seorang demi seorang anak membesar, meninggalkan rumah, mengejar cita hinggalah saya yang paling akhir, tinggal berdua bersama ibu, sebelum saya akhirnya melanjutkan pelajaran di Kuala Kubu Bharu, usai SPM saya berakhir.

Apakah yang terlintas di dalam hati kecil ibu saya, berada di sebuah rumah, menjenguk jenguk setiap bilik anak anaknya, menjengah ke setiap ruang dan ceruk di dalam rumah kami, hanyalah rupa bayangan kami sahaja sewaktu masih kecil terbayang bayang, terigau igau di depan matanya.

Sakit akibat kerinduan dan kesunyian sebegini rupa, usahkan seorang lelaki gagah juga bisa lemah tatkala diuji dengan rasa begitu, apatah lagi ia ditimpa pada seorang wanita di pertengahan usia, tiada lain hanyalah  ia boleh dihadapi oleh jiwa dan batin yang kuat lagi sabar untuk melalui setiap detik dan hari hari sebegini.

Tiadalah duka berpanjangan untuk bonda saya, yang gembira juga banyak.

Namun, duka itu jugalah  kadang kadang mengusik rasa gembira itu.

Dan wajah gembira itu hanya dapat kelihatan, tatkala ibu saya mengetahui anak anaknya akan pulang, bergegas dia, mengemas bilik, membeli makanan yang enak enak buat santapan anak anaknya tersayang,sungguh rasa cinta pada anaknya itu tidak pernah  pudar,  menyediakan masakan yang sedap sedap untuk anaknya yang akan pulang, semuanya itu benar benar mengubat rasa rindu itu, menghilang pahit duka semalam, walaupun dia tahu  rasa gembira itu juga akan berakhir, tatkala anak dan cucunya pergi pula meninggalkannya.

Itulah juga ‘hiburan’ bagi seorang ibu, duduk di serambi rumah menanti kepulangan anak anak mereka, sungguh tiada apa yang menarik bagi kita yang mendengarnya, namun itulah hiburan terindah bagi mereka, menunggu anak pulang dari rantau, menghiris lengkuas serai buat santapan enak enak untuk kita anak anak mereka.

Alhamdulillah, ibu saya memilih jalan kehidupan yang sungguh indah tatkala dia bersara, tiada sehari pun dalam seminggu ditinggalkan kosong, pagi ke kelas pengajian, sebelah petangnya kelas AlQuran, sebelah malamnya menghadiri kuliah di masjid, sehingga dia lebih sibuk daripada seorang pekerja kerajaan!

Moga moga itulah yang akan merubah dukanya menjadi gembira, saat menghadiri kelas kelas pengisian sedemikian.

Masa sudah tidak banyak, usia ibu kita semakin tua, kita tidak pernah sedar ibu kita usianya semakin meningkat, kematian semakin mendekat, dan kita juga semakin tidak punya masa untuk bersama mereka.

Mereka semakin lemah, kita semakin sibuk.

Ahh! Sungguh kesempatan yang ada, tidak pernah memberikan kita cukup ‘kesempatan’ untuk semua itu!

Suatu hari, pernah sekali itu saya pernah mengeluarkan kata kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu saya, kerana suatu hal yang amat kecil.Sungguh amat kecil.

Kata kata yang saya ungkapkan itu pun bukanlah suatu yang berat, bukanlah suatu yang menyakitkan hati, tetapi entah mengapa, ibu saya pada hari itu menjadi jauh hati dan terasa hati dengan tindakan serta kata kata saya itu.

Sungguh saya bukanlah manusia yang sempurna, apatah lagi anak yang benar benar soleh dan baik kepada ibu saya, berbanding abang abang dan kakak saya, namun saya sentiasa mencuba yang terbaik untuk itu.

Lantas, peristiwa tersebut, membuatkan saya terfikir, ya, benarlah, ibu saya semakin tua, umurnya juga sudah hampir mencapai takah 60an, hatinya mudah sensitif, sekalipun pada perkara perkara yang kecil, fikirannya juga sudah tidak sekuat dahulu, pada seorang wanita yang sudah memasuki alam ini, dan selepas ini saya harus lebih banyak berhati hati, memikirkan perasaan ibu saya  itu lebih utama berbanding menjaga hati sendiri.

Kasih sayang ibu

Ya, benarlah, ibu kita semakin tua.

Benarlah kata Rasul serta kata para bijak pandai,

“ Syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibu!”

Dan jalan memperoleh syurga itu, tidak lain kita perlu melalui siri rantaian rintangan serta mujahadah dengan perkara perkara yang kadangkala jauh disukai hati apatah lagi dipaksa mengharunginya tanpa rasa rela!

Begitu jualah, ada kalanya suatu ketika, akan ada sahaja hal, perkara yang menyebabkan kita tidak bersetuju atau bersependapat dengan ibu kita.Kadang kala hingga menimbulkan rasa tidak senang hati, pertelingkahan kecil dengan ibu kita, sehingga kadangkala menjadikan kita gagal untuk menjadi anak yang baik di mata mereka.

Namun itulah harga syurga, tidak senang bukan, kerana syurga itu letaknya bersama redha bonda kita.

Justeru akan ada sahaja benda yang tidak disenangi, tidak kita sukai, bersabarlah dan teruskanlah perjuangan untuk menjadi anak yang terbaik kepada mereka, sungguh sunnah perjuangan itu tidak pernah mudah.

Ya, perjuangan untuk meraih keredhaan seorang ibu juga, adalah perjuangan yang cukup besar nilainya!

Yang sudah silap, usah di ulang ulangi lagi.

Yang sudah terluka, usahlah disebut sebut lagi

Yang berlawanan rasa, pendam pendamkanlah dahulu.

Namun, ada juga mereka  dibayar syurga dengan nilaian mujahadah berbeza.

Punya ibu yang sudah tua lagi nyanyuk, tidak mampu menguruskan diri sendiri, makan perlu disuap, mandi pakai lampin semua perlu dipakaikan, disiapkan.

Ya, buat mereka yang memilih syurga, mereka mungkin mengorbankan masa, kerjaya dan kehidupan mereka, manakala yang mungkin risau ‘kehilangan’ segala kehidupan dunia mereka, mereka memilih untuk menghantar ibu mereka di rumah rumah kebajikan, pusat orang orang tua dan sebagainya.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana suatu masa nanti, bonda kita pada hari ini yang cantik, sihat, menghiburkan kita dengan nasihat nasihatnya, tidak pernah lupa sukatan masam manis masakan kegemaran kita, suatu hari nanti ditimpa sakit, sudah tidak mampu berkata kata, wajahnya juga sudah tidak sebening, tidak sejernih hari ini, cakapnya juga sudah tidak bermaya.

Tatkala itu, melihat keadaan ibu kita sedemikian, apakah lagi yang tinggal.Melainkan rasa tanggungjawab dan kesanggupan kita, semuanya adalah kerana sayang, bukan hanya kerana mereka itu pernah melahirkan kita!

Kesemuanya punya berbagai kesusahan, letih, penat, tetapi tidak lain semuanya menuju matlamat yang sama, mengejar syurga dibawah telapak kaki seorang ibu.

Dan kesemua siri ujian dan rantaian kesusahan itu, semuanya itu, bernilai mujahadah pada pandangan Rabbi, untuk menjadi anak yang soleh dan solehah.

Pada mereka yang masih punya ayahanda dan bonda, yang mungkin sudah terlupa, maka pandanglah wajah mereka dengan penuh kasih sayang, serta ucapkanlah kata kata yang dapat menggembirakan, damaikanlah hati mereka dengan wajah kita yang penuh ceria, kerana nanti akan tiba jua suatu saat, kita sudah tidak punya kesempatan untuk berbuat demikian, tika nanti kita hanya akan dapat membisikkan doa dan surah Al Fatihah di atas hamparan kuburan yang masih merah, dan pada saat itu, sudah terlalu lewat untuk kita mengetahui, bahawa ‘sang pendoa’ yang setia kepada kita telah pergi buat selamanya, tidak akan ada pengganti semisal mereka, kerana mereka hanyalah pinjaman  sementara daripada Allah buat kita semua.

Manakala pada mereka yang ayahanda atau bondanya telah pergi dahulu meninggalkan mereka, tidak pernah adanya istilah ‘berpisah’ antara seorang anak yang soleh di sisi ibu atau ayah mereka, ya, mungkin jasad sudah tidak bertemu, mata tidak bertentang mata lagi, tetapi yang berpisah hanya jasad pada alam nyata, hakikatnya seorang anak yang soleh solehah sentiasa ‘bertemu’ dengan ibu bapa mereka dalam doa doa mereka yang dijamin Allah tidak akan pernah putus putus, sekian banyak anak anak hari ini yang bertemu di alam nyata, tetapi belum tentu doa doa mereka bertemu dan saling memohon keampunan antara satu sama lain.

Justeru, pada perpisahan yang sementara ini, ‘temuilah’ mereka yang telah pergi itu dalam doamu, moga moga perpisahan sementara ini menemukan kita kembali pada pertemuan yang kekal abadi di akhirat kelak! Sebagaimana kita merindui mereka, mereka jua merindui kita, maka, ubatilah kerinduan itu dengan sebuah doa.

Saya juga masih disini, masih lagi dalam mujahadah untuk menjadi anak yang sentiasa didoakan ibu dalam solat dan ratib malamnya.

Tiada yang lebih besar saya pohonkan, moga moga Allah memanjangkan usia ibu saya, dalam kebaikan dan keberkahan, kerana sebesar besar hasrat saya, saya mahu menjaga bonda saya itu sehingga ke akhir hayatnya.

Saya juga tidak pasti apakah saya atau ibu saya yang akan pergi dahulu.

Namun, tidak lain di hati saya, mahu menghabiskan pelajaran, cepat cepat mahu bekerja dan menjaga ibu saya pada menghabiskan usianya yang sudah hampir menginjak 60 tahun.

Saya tidak punya harta yang menimbun, duit yang banyak, tanah bendang yang luas untuk diberikan kepada ibu saya, buat membalas jasanya membesarkan saya selama ini, namun tiada lain saya pohon kekuatan kepada Allah moga saya dan kita semua mampu mengakhiri kehidupan kedua ibu bapa kita dengan menjadikan mereka benar benar bersyukur punya anak seperti kita.

Moga moga saya mampu menjaga ibu saya walau apa jua keadaannya sekalipun.

Itulah hajat terbesar saya, mahu menemani mengisi hari hari tua ibu saya bersamanya

Masa sudah tidak semakin banyak, menanti kesempatan yang benar benar sempat untuk kita suatu hari nanti, menyantuni, meluangkan masa bersama mereka suatu perkara yang sungguh mustahil.

Kita akan dipagut kesibukan dan mereka semakin dihambat tua.

Justeru manfaatkanlah kesempatan yang berbaki ini, moga moga saat mereka menutup mata kelak redha mereka kepada kita turut dibawa bersama menghadap Allah rabbul alamin.

kasih ibu

Sungguh pada jasad seorang ibu, pada lemahnya kudrat mereka sememangnya mereka tidak punya apa apa.

Namun dari rahim yang satu itulah kita mampu melihat bulan dan mentari, dari setitis susu itu jualah yang pernah menghilangkan dahaga kita, diatas ribaan mereka jualah tempat kita menumpang mimpi suatu masa dahulu dan dari kedua tangan itulah yang mengangkat doa membawa kita ke jannah Nya kelak!

Tidak lain, semuanya hanyalah pada sekujur jasad yang lemah bernama seorang ibu, Ma, Mak dan Ummi!

“rabbighfirli waliwalidayya!”

Advertisements

One response to “Cerita Rindu buat Bonda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s