Hanya Setelah Mereka Tiada

Beberapa minggu kebelakangan ini, kerap sahaja berita berita kematian datang menjengah, bermula dari kematian ayah kepada seorang rakan beberapa minggu lalu, selepas itu menyusul pula beberapa berita kematian datang kepada saya, sebahagian daripada mereka saya kenal, sebahagian daripada mereka saya hanya sekadar mengenal nama sahaja, namun berita tentang kematian itu kerap singgah pada saya, bagaikan terdapat suatu rangkaian yang sambung menyambung, sehinggalah berita kematian itu menyinggah kepada diri saya sendiri tatkala ayah tiri saya pulang ke pangkuan ilahi beberapa hari yang lalu, keesokan harinya, saya menerima berita kematian jiran saya pula dan ia datang sehinggalah saya membaca berita berkenaan dengan seorang pelajar dari kuliyyah saya yang telah kehilangan semua ahli keluarganya sekelip mata sahaja.

Dalam pada saya merintih termenung memikirkan ujian Allah datang silih berganti kepada saya, rupanya masih ada lagi insan yang Allah taala uji mereka dengan ujian yang jauh lebih perit daripada apa yang saya timpa.
Ujian Allah yang datang menghempas kita, kadang kadang tidak mampu diterima akal bagaimana mahu menghadapinya, hati kecil tatkala iman yang lemah dek kerana ditimpa ujian akan berkata;

” Kejamnya Allah menguji aku sedemikian rupa!”.

Begitulah ujian Allah, kadang kadang hati kita berkata, kenapa mereka itu hidup senang, punya ahli keluarga yang cukup, punya bapa punya ibu, tatkala hari raya dapat bersama sama dengan gembira, kenapa aku tidak diberi nikmat untuk merasainya, kenapa hidup aku sering sahaja susah, kehilangan orang orang yang aku sayang,

Ujian Allah datang kepada kita dalam pelbagai bentuk rupa dan warna, ada orang yang Allah taala uji mereka dengan kesenangan dan kebahagiaan, sehingga lupa akan Allah, tetapi ada orang yang sentiasa diuji dengan kesusahan kepayahan, dan mereka itu terlebih dekat dengan Allah pada rintihan dan doa doa mereka.

Image

Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan :

“ Dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.

Dunia ini negeri ujian, tiada seorang pun terlepas daripada ujian, yang membezakannya adalah bentuk rupa dan warna ujian yang datang menyergah.
tidak sedikit juga yang diuji dengan kesenangan, yang banyaknya juga diuji dengan kesusahan dan kesedihan.
Negeri akhirat jualah tempat balasan yang kekal dan abadi.Jika ditakdirkan Allah, tiadalah jua kesenangan dan kebahagiaan yang diperoleh di dunia ini, di akhirat sanalah sebaik baik balasan lagi maha kekal.

Mungkin tatkala kita mendapat ganjaran berganda di akhirat kelak, kita akan lupa segala keperitan dunia yang pernah kita lalui dulu.
bahkan ada suatu riwayat menceritakan, penduduk akhirat yang suatu masa dahulu pernah diuji di dunia ini, mengatakan kalaulah mereka tahu mereka akan dapat balasan sebegini rupa di akhirat kelak, sudah tentu mereka mahu meminta ujian yang lebih besar menimpa mereka sewaktu mereka di dunia dahulu.

biarkanlah hari-harimu berlalu,
lapangkanlah jiwamu dalam menerima takdirmu,
jangan pernah lelah dalam bersabar tatkala ditimpa musibah…
‘kerana di dunia in, tiada derita yang abadi’…

Muhammad s.a.w kekasih Allah itu kehilangan ibu dan bapanya tanpa sempat mengenali mereka, adakah itu petanda dia dibenci Allah?

Nabi Yaakub yang diuji dengan kehilangan anaknya Yusuf sehingga buta matanya, apakah petanda mereka itu tidak disukai Allah?

Ayub a.s yang diuji penyakit, Yahya A.S dipenggal kepalanya itu apakah petanda mereka itu tidak disenangi Allah?

Tidak lain mereka ini insan insan yang terpilih, yang tidak sunyi daripada didikan Allah, sepanjang kehidupan mereka, dan bersyukurlah mereka yang dipilih oleh Allah untuk melalui denai denai bekas laluan yang pernah dilalui oleh para Nabi kekasih Allah ini.

Image

Kehidupan saya semenjak kecil lagi telah diajar dengan ‘kehilangan’, pemergian orang orang yang saya sayang silih berganti, saya kehilangan bapa saya sejak berusia 10 tahun lagi, mungkin ada dalam kalangan sahabat sahabat saya hanya mengenali bapa mereka melalui nama yang ada pada bin dan binti mereka sahaja.

Menyedari hakikat bahawa insan insan di sekeliling saya ini hanyalah pinjaman sementara sahaja di dunia ini, tidak lain hati ini lebih cekal dan bersedia tatkala diberitakan dengan pemergian mereka.Mujur masih ada ibu disisi, tempat menumpah kasih dan bermanja, dan dialah yang terlebih kuat diuji, tatkala telah kehilangan suami sebanyak 2 kali, mudah mudahan Allah merahmati ibu saya dunia dan akhirat.

Kesakitan dan kesedihan itu bukanlah pada saat kita menerima berita kematian itu,

Tetapi yang memedihkan dan menyakitkan adalah tatkala bayangan mereka yang telah tiada itu datang mengetuk fikiran dan perasaan, suara mereka datang menyerbu dibibir telinga tatkala keseorangan, dan yang lebih memerihkan adalah tatkala mengenangkan bahawa watak watak yang pernah bersama kita menatap bulan dan mentari itu tidak akan kembali lagi kepada kita sampai bila bila.

Menghadapi hari hari setelah mereka tiada, kesepian yang datang, tiada lagi teman berkongsi cerita, tiada lagi teman buat menyambut tawa dan tiada lagi bahu tempat menumpang esak tangis, peritnya kesepian itu, kerana tiadalah ia terserlah pada zahir mata yang memandang, tetapi ia terpendam pada jiwa jiwa yang dipalut kesedihan dan kesunyian.

Marilah kita memohon kepada Allah agar diuruskan hidup kita ini dengan sebaik baiknya, apabila kita bertawakkal kepada Allah, menyerahkan untung nasib diri kepada Allah, sekalipun di kiri dan kanan, bawah dan atas kita sudah tidak punya siapa siapa dan apa apa di dunia ini, namun Allah masih ada dan kita memohon agar Allah tidak pernah meninggalkan kita walaupun sekelip mata.

Hidup ini, andai diserahkan kepada Allah sepenuhnya, apa yang disangka tewas oleh manusia, tetapi kebahagiaan yang mendatang.
Tatkala manusia melihat ibarat gunung sedang menimpanya, tetapi baginya hanyalah bagaikan debu berterbangan.

” Ya Hayyu Ya Qayyum, dengan rahmat Mu aku memohon pertolongan, janganlah engkau tinggalkan kami walau sekelip mata! ”

Rahmat Allah beserta keampunan kepada mereka yang telah mendahului kita.

Dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita akan dikembalikan.

Al Fatihah.

Advertisements

One response to “Hanya Setelah Mereka Tiada

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s